suria

Skuasy Wanita Dunia: Polis Jamin Keselamatan, Panggil Penganjur Beri Keterangan

SERDANG: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan keselamatan rakyat dan tetamu dari luar negara sentiasa menjadi keutamaan pihaknya, termasuk pemain dan pegawai pada Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2015.

Beliau berkata keraguan penganjur, Kumpulan Hallmark Events bahawa kejohanan itu mungkin ditangguhkan atas faktor keselamatan adalah tidak berasas, sebaliknya lebih bersandarkan kepada laporan media mengenai keadaan di sesebuah negara.

Khalid berkata dakwaan penganjur yang berpangkalan di Hong Kong itu juga dibuat tanpa terlebih dahulu bertanyakan kepada pihak polis berkenaan situasi keselamatan di negara ini.

"Saya pun tak faham dengan penganjur kejohanan ini...mereka tidak pernah bertanya kepada polis, malah kita sekali-kali tidak pernah memberi apa juga nasihat kepada mereka bahawa negara ini tidak selamat.

"Saya pun tak tahu apa masalah sebenarnya, mungkin mereka ada masalah kewangan," katanya mengulas kenyataan Hallmark bahawa kejohanan yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 18 Disember di Kuala Lumpur itu mungkin ditangguh berikutan isu keselamatan.

Khalid berkata sebagaimana polis memastikan tahap keselamatan terjamin semasa persidangan ASEAN ke-27 baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa memastikan keselamatan pemain skuasy pada kejohanan itu bukan satu masalah kepada pihaknya.

Demi memastikan dakwaan itu tidak berlanjutan, beliau berkata Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah diarahkan untuk memanggil penganjur kejohanan itu bagi dirakamkan kenyataan berhubung kenyataan yang dibuat.

"Saya telah arahkan polis Kuala Lumpur untuk memanggil penganjur ini sebab kita nak tahu lebih lanjut berkenaan ancaman keselamatan yang mereka maksudkan,"katanya.

Sebelum ini, hasrat penangguhan kejohanan atas alasan keselamatan turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu Kementerian Belia dan Sukan serta polis mendapatkan penjelasan daripada penganjur berhubung perkara itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin  dilaporkan berkata penganjur, Kumpulan Hallmark Events menggunakan alasan keselamatan bagi mendapatkan tajaan RM3.5 juta daripada kerajaan. 

Menurut Khairy menangguhkan kejohanan itu atas alasan keselamatan nyata sesuatu yang tidak masuk akal ketika negara baharu saja menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 yang antara lain turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat Barack Obama. -Bernama

Artikel Lain