suria

Ucapan Muhyiddin, Shafie: Mesyuarat Khas MT Umno Putuskan Pada 9 Dis

BAGAN DATOH: Mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO pada 9 Dis ini akan membuat keputusan sama ada Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal dibenarkan berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2015.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu akan didengari oleh Muhyiddin dan Shafie kerana mereka juga menghadiri mesyuarat khas tersebut.

"Kita mendengar apa yang disuarakan oleh mana-mana pemimpin UMNO. Kita harap mesyuarat khas yang akan diadakan pada 9 Dis nanti akan memutuskan dan kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Sukan Air Bagan Datoh 2015 di Kompleks Pelancongan Bagan Datoh di sini, Sabtu.

Muhyiddin baru-baru ini mengesahkan beliau akan hadir pada Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung minggu depan walaupun tidak dibenarkan berucap.

Terdahulu, dalam ucapannya timbalan perdana menteri berkata rakyat perlu berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional yang memberi pelbagai bentuk bantuan kepada mereka selama ini.

"Kita tidak menghalang mereka mengkritik, namun biarlah kritikan itu membina, bukan kritikan yang menghina," katanya.

Mengenai karnival hari ini, Ahmad Zahid berharap karnival itu tidak dijadikan pesta untuk bersuka ria sehingga berlakunya maksiat dan pengambilan dadah.

"Walaupun ada pesta, majlis keramaian tetapi keselamatan kawasan Bagan Datoh perlu diberikan keutamaan agar keselamatan dapat dipertahankan," katanya, dan menambah, beliau akan berusaha mendapatkan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk memperbesarkan jeti Bagan Datoh.

Karnival kali ketiga itu diadakan selama tiga hari dengan menyediakan pelbagai acara antaranya sampan berhias, bola sepak pantai, karnival memasak, permainan tradisional, berenang dan jetski.

Umno, PAU 2015

Artikel Sebelum

Artikel Lain