suria

Penganjur Kejohanan Skuasy Wanita Dunia Ugut Kerajaan - Khairy

Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan membiarkan diugut oleh penganjur Kejohanan Skuasy Wanita Dunia.

Menteri Belia dan Sukan berkata, penganjur berkenaan, Hallmark Events Group pada Jumaat mengakui selain kebimbangan mereka terhadap isu keselamatan, alasan lain dalam mencadangkan penundaan acara itu disebabkan masalah kewangan.

"Dalam emel yang mereka hantar, mereka kata boleh meneruskan acara tersebut pada minggu depan sekiranya kerajaan Malaysia boleh menyediakan tajaan, termasuk RM3.5 juta untuk urusan keselamatan," kata Khairy.

"Saya tidak bersetuju tentang perkara itu, diugut oleh penganjur dengan menggunakan isu keselamatan dan memberi gambaran buruk tentang Malaysia apabila sebahagian besar tujuan mereka untuk menangguhkan acara itu adalah berkenaan isu tajaan.

"Ini adalah tidak munasabah, sama sekali tidak munasabah. Saya tidak akan membiarkan diugut oleh penganjur acara antarabangsa," katanya.

Tambah Khairy, ia kini terpulang kepada penganjur untuk mencari tajaan kerana kerajaan tidak dapat memenuhinya kerana sebab belanjawan.

Awal minggu ini, penganjur kejohanan berkenaan membangkitkan kebimbangan mereka berhubung isu keselamatan, sehingga menimbulkan persoalan dan kemarahan pihak berkuasa Malaysia.

Kejohanan itu dijadualkan berlangsung di Bukit Jalil dan KLCC dari 11 sehingga 18 Disember ini.



Artikel Lain