suria

E-Shisha Jadi Trend Di Sekolah

Mohamed Idris menunjukkan vape dan shisha yang dirampas daripada pelajar dan murid sekolah.

GEORGE TOWN: Aktiviti seorang murid perempuan Tahun Empat menjual rokok elektronik berperisa pakai buang yang dipanggil e-shisha atau pen shisha kepada rakan-rakan lelaki sekolahnya terbongkar selepas dikesan oleh seorang guru di Tanjung Tokong.

Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), budak perempuan berkenaan ditangkap sebelum sesi cuti sekolah.

Pegawai pendidikan CAP, N.V Subbarow berkata, seorang guru dari sekolah berkenaan memberitahu persatuan mengenai pen shisha yang berukuran 12 sentimeter panjang itu berharga RM15 setiap satu dengan 500 kali hembusan.

Beliau berkata, CAP menerima aduan daripada 15 sekolah di Pulau Pinang di mana pelajar dan murid ditangkap kerana menghisap vape atau e-shisha.

"Apa yang lebih mengejutkan, 10 daripada mereka adalah murid sekolah rendah," katanya pada sidang media di pejabat CAP di sini, Jumaat.

Subbarow mendakwa, gerai yang menjual pen shisha boleh didapati di depan beberapa sekolah di Pulau Pinang, terutama di kawasan luar bandar.

"Biasanya gerai-gerai ini tidak hanya menjual shisha tetapi juga minuman dan makanan ringan yang disukai kanak-kanak.

"Bila saya nampak sebuah gerai menjual shisha dekat sekolah rendah di Bayan Baru, saya cuba untuk mendapatkanya tetapi tidak dipedulikan peniaga. Mereka hanya menjual shisha kepada kanak-kanak," dakwanya.

Subbarow merasakan peniaga berkenaan tidak mahu menjual pen shisha kepada orang dewasa kerana mereka mengesyaki sesuatu yang mencurigakan sekiranya orang dewasa datang mahu membeli barangan tersebut.

Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris berkata, beberapa guru memberitahu CAP bahawa segelintir pelajar di Pulau Pinang sanggup membuat kerja sampingan semata-mata mahu membeli rokok, pen shisha atau vape.

Katanya, sebahagian yang lain terpaksa menipu ibu bapa mereka untuk mendapatkan wang bagi membeli barang berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya mengeluarkan larangan terhadap rokok elektronik, vape dan pen shisha sebelum ia menjadi ancaman kepada kesejahteraan negara. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain