suria

Dakwaan Saudara Kadafi Muktadil Ditangkap Tidak Benar - Khalid

SERDANG: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Sabtu menafikan dakwaan seorang lagi saudara kepada Kadafi Muktadil, yang terlibat dalam penculikan dua rakyat negara ini di Sandakan pada Mei lepas telah ditahan.

Beliau berkata khabar angin tersebut adalah tidak benar.

"Setakat ini yang ditangkap cuma seorang sahaja iaitu Khadafi Muktadil pada minggu lepas di sebuah hospital di selatan Filipina selepas anggota Abu Sayyaf itu terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Seorang lagi yang ditangkap ialah Saddam Jailani, iaitu sebelum penahanan Khadafi, yang kita percaya terlibat mengawal beberapa rakyat negara ini yang diculik," katanya.

Khalid berkata hasrat untuk mengekstradisi dua suspek itu telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa Filipina dan urusan untuk memastikan mereka diadili di Malaysia akan diteruskan oleh Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara dari kedua-dua negara.

Selain Saddam, Kadafi dan abangnya yang dikenali sebagai Mindas merupakan tiga individu yang dipercayai terlibat menculik pengurus restoran Thien Nyuk Fun dan pelancong dari Sarawak, Bernard Then Ted Fen di Restoran Ocean King sebelum Thien dibebaskan pada 8 November, manakala Then pula dipenggal kepalanya sembilan hari kemudian.

Dalam pada itu, Khalid berkata hasrat untuk merakam kenyataan Xavier Andre Justo berhubung isu siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini ditahan di Bangkok, Thailand yang dijadual pada Selasa ini terpaksa ditangguhkan.

Beliau berkata penagguhan sehingga tarikh baharu yang akan ditentukan kemudian dimaklumkan oleh pihak berkuasa Thailand kepadanya pada Sabtu walaupun pegawai yang ditugaskan untuk menemubual Justo telah bersedia sepenuhnya.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata polis percaya beberapa siri tembakan sehingga menyebabkan kematian yang berlaku di Kajang kebelakangan ini mempunyai kaitan dengan kegiatan gengsterisme.

"Daripada pemantauan yang dibuat, ia memang ada kaitan dengan kegiatan gengsterisme dan maklumat mereka yang terlibat sedang dikumpul sebelum tindakan diambil," katanya.

Ditanya mengapa Kajang menjadi tumpuan hingga menimbulkan kebimbangan dikalangan penduduk, beliau berkata ia disebabkan banyak faktor antaranya untuk mengawal kawasan dan aktiviti tertentu di kawasan tertentu.

Bagi mengimbangi kebimbangan penduduk, Khalid berkata beliau telah mengarahkan kehadiran anggota polis di kawasan berkenaan dipertingkatkan, sementara operasi membanteras kumpulan itu dilakukan secara agresif dan berterusan.

Terdahulu, Khalid menyampaikan hadiah pertandingan endurance terbuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena ulang tahun penubuhan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) ke-60, di Bukit Ekspo Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini yang disertai 35 pasukan dari seluruh negara. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain