suria

Zakaria Penerima Pertama Anugerah Felo Maca

Zakaria Jaffar bakal menyumbang pengalaman selama 30 tahun dalam SPRM menerusi Maca.

PETALING JAYA: Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) mengurniakan Anugerah Felo kepada mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaffar.

Zakaria bersara daripada perkhidmatan awam pada 12 Oktober 2015.

Pengarah Maca, Datuk Abdul Wahab Abdul Aziz berkata, pemilihan Zakaria adalah penghargaan atas sumbangannya dalam soal pembangunan program latihan pegawai SPRM  selama tiga dekad berkhidmat.

"Ini kali pertama Maca memperkenalkan Anugerah Felo," katanya pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun Ke-10 Maca di Kuala Lumpur pada Selasa malam.

Maca menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya pada 1 Disember 2015.Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) iaitu satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM melancarkan Buku 10 Tahun Maca.

Dalam ucapannya, Abu Zahar berkata, semua pihak perlu menguatkan lagi iltizam memerangi rasuah dan Maca diharap  terus melahirkan penjawat yang amanah dan dedikasi dalam memerangi jenayah rasuah, dan yang mempunyai 'stellar qualities' dalam membantu usaha membanteras rasuah.

"Saya ingin menyarankan agar Maca sentiasa mengkaji jenayah rasuah dan sentiasa membuat penambahbaikan terhadap segala hal yang berkaitan dengan usaha memerangi rasuah yang juga isu penting keselamatan negara.

"Harapan saya, Maca yang sudah pun mencapai usia 10 tahun ini akan terus memberikan saranan dan cadangan bernas seperti kaedah membendung rasuah ataupun kaedah berkesan penguatkuasaan ataupun pindaan undang-undang berkaitan dari semasa ke semasa supaya selari dengan perkembangan dunia dan teknologi terkini," kata beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Negara.

Maca lahir daripada Bahagian Latihan semasa Badan Pencegah Rasuah (BPR), sebelum SPRM dibentuk pada 2009.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, Maca memainkan peranan sebagai penyedia latihan bukan sahaja bagi pegawai SPRM dan pegawai agensi pencegahan luar negara, malah bagi warga kerja sektor awam yang lain dan swasta, khususnya dalam bidang pembinaan kapasiti integriti dan pencegahan rasuah.

Katanya, secara umumnya Maca diharap akan menjadi pusat serantau bagi usaha-usaha meningkatkan kapasiti dan kapabiliti dalam pembanterasan rasuah.

Dalam tempoh 10 tahun ini, menurut Dato’ Abdul Wahab, Maca telah menerima pelbagai pengiktirafan, termasuklah daripada Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Berkaitan Dadah dan Jenayah (UNODC), Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) yang memilih SPRM khususnya Maca sebagai pusat latihan tunggal di luar IACA.

Sejak ditubuhkan pada 2006, Maca telah melatih 32,611 peserta melalui 1,014 program.

SEA-PAC (Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah) dalam mesyuarat kali ke-10 pada 2014 bersetuju untuk menjadikan Maca pusat latihan kepimpinan dalam sektor pencegahan rasuah bagi rantau Asia Tenggara. Malah, banyak negara mempelawa Maca mengendalikan latihan di negara masing-masing termasuk Bhutan iaitu negara yang tinggi dari segi ranking Indeks Persepsi Rasuah, CPI.

Turut hadir pada majlis pada Selasa malam ialah Pengerusi Jawatankuasa Aduan, Tan Sri Wilson Baya Dandot dan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Johan Jaaffar.

Kedua-dua Jawatankuasa Aduan dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah merupakan dua lagi badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Jamidan Abdullah juga hadir sama. 


Maca, SPRM, Anugerah Felo, Zakaria Jaffar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain