suria

Mat Sabu Diminta Selesaikan Isu Pro-Syiah

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu diminta menyelesaikan isu perbezaan ideologi dalam Parti Amanah Negara (Amanah) yang baharu diterajuinya.

Sehubungan itu, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, Mohamad atau Mat Sabu serta kepimpinan Amanah tidak perlu mencari alasan terhadap tindakan mereka meninggalkan PAS dengan mengaitkan parti Islam itu dengan pemikiran militan.

"Kepimpinan Amanah dinasihatkan menyelesaikan dahulu kecelaruan mereka dan mencari titik persamaan supaya kumpulan pro-Syiah, pro-Tanzim Alami dan pro-Anwariyyun dapat disetarakan pemikirannya," katanya menerusi kenyataan.

Selain itu, Mohd Zuhdi turut membidas Mat Sabu kerana menuduh PAS diresapi pemikiran kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

Katanya, alasan terbaharu Mohamad apabila mengaitkan PAS dengan gerakan militan adalah bertentangan dengan dakwaannya sendiri sebelum ini terhadap parti Islam berkenaan.

"Pimpinan Parti Amanah Negara mula menyerang PAS dengan mengaitkan PAS dengan Isis atau terrorisme. Terkini presidennya sendiri berkata antara sebab Amanah ditubuhkan disebabkan PAS kini dipengaruhi oleh Isis.

"Sebelum ini, PAS dituduh mahu bersekongkol dengan parti pemerintah, iaitu Umno atau BN atas nama kerajaan perpaduan yang juga dimomokkan sebagai punca mengapa Amanah ditubuhkan.

"Berdasarkan paradox kedua-dua tuduhan itu, PPP melihat kepimpinan Amanah sebenarnya semakin keliru dan celaru. Mereka tidak tahu, peluru mana yang mahu diguna untuk menyerang PAS," katanya.

Jelas Mohd Zuhdi, tuduhan bahawa PAS mahu bekerjasama dengan Umno dan diresapi pemikiran militan merupakan dua perkara yang bertentangan.

"Sesebuah kumpulan yang terpengaruh dengan Isis, sifat mereka begitu melampau terhadap pemerintah muslim yang tidak sealiran dengan mereka.

"Jika PAS dituduh diserapi pemikiran Isis, mengapa pula PAS dituduh mahu bekerjasama dengan pemerintah kerana pendekatan ini jauh berbeza dengan Isis," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain