suria

Pengurniaan Pingat Kepada Aminuddin Baki Kuatkan Iltizam Warga Pendidik

KUALA LUMPUR: Pengurniaan pingat Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) kepada allahyarham Aminuddin Baki disifatkan sebagai suatu pengiktirafan yang menguatkan iltizam warga Kementerian Pendidikan untuk meneruskan perjuangan allahyarham mengangkat martabat pendidikan di negara ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata pengurniaan itu bukan sahaja suatu penghormatan besar malah ia mengiktiraf jasa serta bakti allahyarham kepada negara khususnya dalam bidang pendidikan.

"Saya bagi pihak warga pendidik di Malaysia merafak sembah menjunjung kasih di atas perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengurniakan darjah SPMP kepada allahyarham bersempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah," katanya dalam satu kenyataan, Ahad.

Khamis lepas, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan 702 darjah kebesaran, bintang dan pingat bersempena Hari Keputeraan baginda yang pertama kali disambut selepas pertabalan baginda sebagai Sultan Perak XXXV.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengetuai senarai penerima pertama Darjah Seri Paduka Sultan Nazrin Shah (SPSN) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja manakala Aminuddin pula menerima secara Anumerta darjah SPMP membawa gelaran Datuk Seri.

Khair berkata ketokohan allahyarham Aminuddin dalam bidang pendidikan terbukti melalui pandangan bernasnya meliputi pelbagai perkara bersangkutan dengan bidang berkenaan sehingga melayakkan allahyarham diberi kepercayaan memegang beberapa jawatankuasa menggubal dasar pelajaran semasa hayatnya.

Katanya antara jawatankuasa yang diteraju allahyarham adalah Jawatankuasa Barnes 1951, Jawatankuasa Penyata Razak 1955, Jawatankuasa Rahman Talib 1960 dan Jawatankuasa Merancang Pelajaran Tinggi.

"Jawatan terakhirnya adalah Ketua Penasihat Pelajaran yang kini dikenali sebagai Ketua Pengarah Pelajaran," katanya.

Mendapat gelaran sebagai Bapa Pendidikan Malaysia, allahyarham yang dilahirkan di Chemor, Perak pada 26 Jan 1926 telah banyak berjasa dalam bidang pendidikan, menghembuskan nafas terakhir pada 25 Dis 1965 ketika berusia 39 tahun akibat serangan jantung.-- Bernama


Aminuddin Baki, Perak

Artikel Lain