MAHKAMAH Koroner pada Isnin diberitahu kesemua empat jurnal yang diperiksa berkaitan kematian Zara Qairina Mahathir didapati tidak lengkap, dengan satu daripadanya kehilangan 64 helaian.Saksi ke-77, pensyarah dan penyelidik sains forensik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa, berkata jurnal berkenaan terdiri daripada jurnal berwarna hijau bertanda W1, jurnal 'Simple Style Book' berwarna ungu pastel (W2), jurnal berwarna coklat gelap (W3) dan jurnal 'Love And Peace' berwarna hijau zaitun (WK9). Wan Nur Syuhaila yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kimia Tulen dan Gunaan dari University of Strathclyde, United Kingdom, berkata pemeriksaan fizikal mendapati W1 mengandungi 97 helaian berbanding 98 helaian dalam jurnal rujukan baharu daripada jenis yang sama, menunjukkan satu helaian hilang atau terkoyak.Sementara itu, W2 hanya mengandungi 53 helaian berbanding 96 helaian dalam jurnal rujukan baharu, bermakna 43 helaian hilang, manakala W3 mempunyai 77 helaian berbanding 98 helaian dalam jurnal rujukan, dengan 21 helaian hilang.Dia berkata WK9 diterima dalam keadaan lusuh dan koyak serta hanya mempunyai 54 helaian berbanding 118 helaian dalam jurnal rujukan baharu daripada jenis yang sama, bermakna 64 helaian hilang."Kesimpulan saya berdasarkan pemeriksaan fizikal dan proses pembinaan semula mendapati jurnal W1, W2, W3 dan WK9 tidak lengkap ketika saya memeriksanya," katanya kepada Koroner Amir Shah Amir Hassan ketika prosiding inkues kematian Zara Qairina di Kota Kinabalu.Wan Nur Syuhaila berkata pemeriksaan lanjut terhadap jurnal WK9 turut menunjukkan terdapat bukti pengubahsuaian dan perubahan, dengan helaian bebas hadapan asal dikoyakkan dan sebahagian helaian asal masih terdapat di bahagian kiri atas.Tambahnya, helaian bebas belakang kemudiannya turut dikoyakkan dan ditampal pada kulit hadapan jurnal, menyebabkan terdapat kesan daripada bahan asal serta bahagian yang baharu ditampal.Keadaan itu menjadi asas kepada pendapatnya bahawa WK9 telah melalui proses pengubahsuaian dan perubahan.Wan Nur Syuhaila memberitahu mahkamah dia memeriksa jurnal serta helaian yang berasingan menggunakan kaedah Electrostatic Detection Apparatus (ESDA), iaitu peralatan forensik yang digunakan untuk mengesan kesan tulisan berlekuk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.ARTIKEL BERKAITAN: Ada ‘tangan ghaib’ koyak, tokok tambah tulisan dalam diari Zara Qairina - PakarDia berjaya mendapatkan kesan tulisan berlekuk pada halaman 51, 53, 67 dan 100 jurnal W2, namun mendapati tiada halaman yang sepadan dalam jurnal tersebut.Bagi WK9 pula, Wan Nur Syuhaila menemukan kesan tulisan berlekuk pada halaman 1, 4, 7, 17, 37, 50, 51 dan 53, namun tiada halaman yang sepadan dalam jurnal berkenaan.Dia turut menemukan kesan tulisan berlekuk pada bahagian dalam kulit hadapan WK9, namun tidak dapat mendapatkan atau membaca tulisan berkenaan menggunakan ESDA disebabkan keterbatasan teknikal.Wan Nur Syuhaila turut menjelaskan dia tidak membuat perbandingan mana-mana tulisan tangan yang ditemukan dengan tulisan tangan mana-mana individu bagi menentukan pengarangnya. Sebaliknya, analisis tulisan tangan dilakukan oleh pemeriksa dokumen forensik Tay Eue Kam menggunakan bahan yang diperolehnya.Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira pukul 4 pagi.Prosiding inkues bersambung pada pukul 2.30 petang Isnin dengan saksi yang sama. -The Star