Zulkifli Mawardi (empat dari kanan) bersama peserta Inisiatif KPS Berhad Caregiver pada Majlis Graduasi di Kepala Batas, Pulau Pinang.
SERAMAI 60 peserta berjaya menamatkan latihan kemahiran menerusi program KPS Berhad Caregiver Initiative 2026, sekali gus membuka peluang kerjaya lebih terjamin dalam sektor penjagaan warga emas yang semakin mendapat perhatian.Hari bersejarah buat kesemua graduan itu diraikan pada Majlis Graduasi KPS Berhad Caregiver Initiative 2026 yang berlangsung di Petak Padin Cottage, Kepala Batas, Pulau Pinang. Kesemua peserta terlibat dipilih Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) menerusi sesi temu duga sebelum mengikuti latihan selama enam minggu.Tempoh berkenaan merangkumi dua minggu pembelajaran teori dan empat minggu latihan praktikal di beberapa pusat jagaan terpilih yang mana inisiatif pelaburan sosial itu dikendalikan oleh Cality Care Malaysia sebagai penyedia latihan dengan menggunakan modul berteraskan Australia’s Certificate III in Individual Support (Ageing).Malah sejak diperkenalkan pada 2019, lebih 350 peserta sudah menamatkan latihan dan menerima pensijilan dalam bidang penjagaan warga emas menerusi inisiatif tersebut.Lebih membanggakan, semua graduan berjaya memperoleh pekerjaan dalam bidang penjagaan warga emas selepas menamatkan latihan.Ketua Pegawai Kelestarian KPS Berhad, Zul Mawardi berkata, peningkatan populasi warga emas memerlukan Malaysia membangunkan ekosistem penjagaan yang lebih tersusun, profesional dan berdaya tahan."Keperluan penjagaan warga emas tidak boleh dilihat sebagai isu keluarga semata-mata. Ia merupakan satu keperluan sosial yang semakin penting."Melalui KPS Berhad Caregiver Initiative, kami mahu membangunkan tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran, keyakinan dan laluan kerjaya yang jelas."Pada masa sama, kami mahu membantu keluarga warga emas mendapatkan akses kepada penjagaan yang lebih berkualiti," katanya.KPS Berhad kini melihat ruang untuk memperhalusi fokus program selaras dengan perubahan keperluan sektor berkenaan, khususnya dalam menyediakan penjagaan lebih khusus kepada warga emas berkeperluan khas.