Mohd Najwan (tiga kanan) meraikan kontinjen Selangor yang berjaya mencapai sasaran 80 pingat emas. -Foto Bernama
KERAJAAN Selangor memberi bayangan untuk mempertimbangkan cuti khas sekiranya kontinjen negeri itu dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) 2026.Bagaimanapun, sebarang pengumuman mengenainya hanya akan dibuat selepas kedudukan pungutan pingat keseluruhan dimuktamadkan. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, cadangan pemberian cuti itu akan dikemukakan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk pertimbangan."Kita akan cadangkan cuti itu kepada Menteri Besar untuk pertimbangan."Sekiranya kita muncul juara keseluruhan, mungkin satu insentif boleh dipertimbangkan untuk rakyat Selangor," katanya dalam sidang media di bangunan Majlis Sukan Negeri Selangor pada Ahad.Dalam pada itu, Najwan berkata kerajaan negeri akan turut memperincikan bentuk insentif kepada atlet yang mempamerkan prestasi cemerlang selepas temasya berkenaan berakhir."Bagi insentif kepada atlet yang menunjukkan prestasi baik, kita akan usahakan selepas Sukma berakhir," katanya.Malah katanya, pesaing negeri pun mempunyai sekitar 40 pingat emas dan perlu memperoleh 90 pingat itu bagi mengatasi Selangor.Tambahan pula katanya, setakat pukul 2.50 petang Ahad, kontinjen Selangor berada di 'atas landasan' dan sudah mengumpul 85 pingat emas sekali gus mengatasi sasaran yang ditetapkan.Antara emas terbaharu disumbangkan pasukan e-sukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita, acara terjun papan anjal 3 meter wanita, perseorangan ping pong wanita serta perseorangan boling padang lelaki.Meskipun berada dalam kedudukan memberangsangkan, Najwan mengingatkan barisan atlet Selangor supaya tidak terlalu selesa dan terus memberikan tumpuan sehingga berakhirnya temasya."Saya juga ingin mengingatkan atlet supaya terus fokus. Kita mempunyai kira-kira satu hari setengah lagi sebelum Sukma berakhir, jadi berikan yang terbaik."Menang atau kalah adalah lumrah dalam pertandingan," tambahnya.Untuk rekod, SUKMA Selangor yang bermula 15 Ogos lalu akan berakhir Isnin dengan majlis penutup akan diadakan di Aneka Walk, Seksyen 14. Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dijangka hadir mencemar duli ke majlis penutup berkenaan.