DIDAKWA tidak tahan menjadi mangsa gangguan dan peras ugut berterusan, seorang wanita berusia 22 tahun ditemukan maut di sebuah tasik.Lebih menyedihkan, wanita berkenaan dipercayai sempat meninggalkan nota yang mendakwa dia diganggu seorang lelaki dikenali sebagai Abhishek sebelum kejadian. Mayat mangsa yang berasal dari Arodi berhampiran Belalamakki di daerah Shivamogga, India ditemukan di Tasik Agara, Bengaluru selepas operasi pencarian dijalankan oleh pihak polis bersama ahli keluarganya.Berdasarkan laporan, mangsa sebelum ini menetap di sebuah penginapan berbayar di HSR Layout, Sektor 1 dan bekerja di bahagian jualan sebuah kedai barang kemas di kawasan berkenaan.Kejadian terbongkar pada pagi 22 Ogos selepas rakan sebilik menemukan nota ditinggalkannya sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada kakak mangsa.Bimbang akan keselamatan adiknya, si kakak bersama pemilik penginapan terus berusaha mencari mangsa di sekitar kawasan berdekatan sebelum memutuskan untuk membuat laporan di Balai Polis HSR Layout.Pihak polis yang melancarkan operasi pencarian di sekitar Tasik Agara akhirnya menemui mayat wanita terbabit terapung di lokasi berkenaan.Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh kakaknya, mangsa didakwa berdepan gangguan emosi secara berterusan daripada Abhishek menerusi panggilan telefon, mesej, serta penghantaran gambar dan video.Suspek juga didakwa cuba memeras ugut mangsa, bagaimanapun pihak polis mengesahkan segala dakwaan berkenaan masih dalam siasatan.Difahamkan, mangsa dan Abhishek sudah lama mengenali antara satu sama lain dan pernah belajar bersama ketika mengikuti pengajian prauniversiti (PUC).Selepas menamatkan pengajian ijazah di Sagar, mangsa berpindah ke Bengaluru untuk bekerja.Susulan kejadian, polis HSR Layout membuka kes terhadap Abhishek mengikut Seksyen 108 Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS) berkaitan kesalahan bersubahat dalam perbuatan membunuh diri.Siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang membawa kepada kematian mangsa termasuk menyiasat dakwaan gangguan dan peras ugut yang dinyatakan dalam aduan keluarga. -Agensi