Pertikaian dua rakan sebilik menjadi punca seorang penyelia disabit kesalahan kerana melakukan kekerasan. -Gambar hiasan AI
NIAT asal mahu meleraikan pergaduhan antara penghuni, namun seorang penyelia sebuah penginapan akhirnya bertukar menjadi 'penyerang' selepas gagal mengawal kemarahannya.Lebih parah, lelaki berkenaan bertindak menyerang salah seorang penghuni menggunakan objek besi sehingga mangsa mengalami beberapa kecederaan dan patah tulang. Insiden di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu pada mulanya tercetus disebabkan perkara remeh apabila mangsa pulang ke bilik di sebuah kediaman berkongsi dan mendapati pakaiannya berselerak.Mangsa mendakwa pakaiannya sudah disusun sebelum keluar, selain turut mendapati sebuah cerek teh diletakkan oleh rakan sebilik di atas katilnya.Selepas mengetahui individu yang bertanggungjawab, mangsa bersemuka untuk meminta penjelasan.Namun perbualan mereka bertukar tegang sebelum tercetus pertengkaran yang menarik perhatian penyelia penginapan tersebut.Mendengar kekecohan itu, penyelia berkenaan tampil dengan niat untuk menjadi orang tengah dan meredakan keadaan.Bagaimanapun, situasi bertukar di luar jangkaan apabila dia pula bertengkar dengan mangsa yang cuba dibantunya.Pertikaman lidah antara kedua-duanya semakin panas sehingga penyelia berkenaan hilang sabar sebelum didakwa menyerang mangsa menggunakan objek diperbuat daripada besi.Serangan itu menyebabkan mangsa mengalami beberapa kecederaan termasuk patah tulang sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa.Kes berkenaan kemudiannya dibawa ke Mahkamah Kesalahan Ringan Sharjah untuk tindakan lanjut.Ketika berdepan pertuduhan, tertuduh yang merupakan warga Asia mengakui pada awalnya dia hanya mahu campur tangan bagi meleraikan pergaduhan tersebut.Namun, pertengkaran mulut dengan mangsa semakin memuncak sehingga mencetuskan kemarahannya sebelum bertindak melakukan serangan.Selepas mendengar keterangan pihak terlibat dan saksi serta meneliti bukti dalam fail kes, mahkamah pada Sabtu mendapati tertuduh bersalah atas kesalahan menyerang.Tertuduh pada asalnya berdepan hukuman penjara selama tiga bulan.Namun, mahkamah memerintahkannya menjalani khidmat masyarakat sebagai hukuman alternatif menggantikan tempoh pemenjaraan tersebut. -Agensi