AKIBAT ponteng sekolah, dua beradik lelaki berusia tujuh dan 11 tahun 'dilibas' menggunakan kayu golf sehingga cedera.Lebih menyayat hati, salah seorang mangsa sempat mengangkat kedua-dua tangan sebagai tanda merayu supaya tidak dipukul, namun kepalanya tetap ditampar suspek yang merupakan abang iparnya. Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang pada 20 Ogos lalu di sebuah komuniti di daerah Bang Bua Thong, wilayah Nonthaburi, Thailand.Terkejut dengan insiden yang berlaku itu, bapa mangsa, Wisanu, 45, kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Bang Bua Thong dengan menamakan menantunya yang berusia lingkungan usia 20-an, sebagai suspek.Dia turut menyerahkan kayu golf yang dipercayai digunakan dalam serangan itu kepada pihak polis sebagai bahan bukti.Menurut dua beradik berkenaan, Pong, 11, dan Pang, 7, mereka dipukul pada bahagian kepala, muka serta badan sebelum bertindak melarikan diri dari rumah untuk mendapatkan pertolongan.Datuk mangsa, Wichai, 69, berkata, dia ketika itu sedang berehat di atas buaian apabila terdengar tangisan cucu-cucunya.Sebaik membuka pintu, warga emas itu mendakwa melihat suspek sedang memegang kayu golf, manakala seorang cucunya mengangkat tangan dalam keadaan merayu supaya tidak dicederakan.Wichai kemudiannya cuba memasuki bilik berkenaan melalui laluan lain, namun mendakwa ternampak suspek memegang sebilah pisau sebelum seseorang menghalangnya daripada menghampiri kawasan tersebut.Wisanu yang tiada di rumah ketika kejadian berkata, suspek merupakan suami kepada anak perempuan sulungnya, sekali gus abang ipar kepada kedua-dua mangsa.Dia percaya serangan itu tercetus selepas suspek mengetahui kedua-dua anaknya tidak hadir ke sekolah.Ia berikutan suspek pernah mengugut kanak-kanak terbabit sebelum ini dan didakwa berada di bawah pengaruh ganja ketika kejadian.Dalam pada itu, dua pembantu kepada Ahli Parlimen Nonthaburi, Saichon Nitkham dan Kraithawat Thammathada turut tampil membantu keluarga tersebut membuat laporan polis selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 malam.Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kepala, rahang dan tangan. -Agensi