suria

Pusat Transit Baharu Siap Februari Depan

Keadaan Pusat Transit Kuala Betis yang berada dalam keadaan menyedihkan dan terabai.

PETALING JAYA: Keadaan Pusat Transit Kuala Betis untuk wanita orang asli yang hamil didapati berada dalam keadaan menyedihkan merupakan kesan akibat banjir teruk pada Disember tahun lalu.

Namun berita baik untuk masyarakat itu ialah sebuah pusat transit baharu bernilai RM468,000 kini sedang dibina dan sedia untuk digunakan dalam tempoh tiga bulan akan.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berkata wanita hamil kini berada di pusat transit lama.

"Semua peralatan seperti katil, tilam, almari, selimut, peralatan mandian dan ubat-ubatan telah musnah akibat banjir," kata Jakoa menerusi kenyataan.

Ia sebagai respons kepada laporan mStar Online dan The Star mengenai keadaan pusat transit di Kuala Betis, Gua Musang yang berada dalam keadaan yang tidak kondusif.

Menurut Jakoa lagi, pihaknya dengan bantuan penduduk telah menganjurkan sesi gotong-royong untuk membersih dan membaiki pusat berkenaan.

"Kami telah menyediakan tikar, bantal dan selimut.

"Aktiviti pembersihan dilakukan secara berkala dan makanan disediakan tiga kali sehari," katanya sambil menambah bahawa pusat itu dibina untuk orang asli yang ingin mendapatkan rawatan perubatan serta ahli keluarga mereka.

Tambah Jakoa, pihaknya juga menyediakan bantuan kebajikan untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, dan telah melantik kontraktor untuk membina pusat transit baharu dengan kemudahan yang lebih baik untuk keselesaan orang asli.

"Pusat baharu akan dilengkapi dengan katil, tilam dan loker," katanya, sambil menambah bahawa ia akan siap pada bulan Februari depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain