suria

Adik Kevin Morais Dakwa Miliki Maklumat Baharu Berhubung Kematian Mendiang

KUALA LUMPUR: Adik lelaki kepada mendiang Kevin Morais mendakwa dia kini memiliki pemacu pena (pen drive) yang mengandungi maklumat terkini berhubung satu kes yang sebelum ini dikendalikan mendiang dan boleh disabitkan dengan kematiannya.

Kes itu membabitkan individu tertentu yang berpengaruh.

"Kandungan pen drive ini jelas dan tanpa ragu-ragu mendedahkan siasatan yang mengaitkan personaliti tertentu," kata Charles Suresh, anak kedua dalam keluarga Morais, pada sidang media, Rabu.

Charles yang menandatangani akuan sumpah berkanun pada Rabu berhubung dakwaannya ini berkata, dia percaya bahawa Kevin, seorang Timbalan Pendakwa Raya yang dipinjamkan oleh Jabatan Peguam Negara kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  dibunuh kerana kes yang sedang dijalankan itu.

Charles juga berkata dia tidak yakin bahawa kematian Kevin ada kaitan dengan kes rasuah pakar patologi Angkatan Tentera Malaysia yang sebelum ini dikendalikan oleh mendiang.

"Saya memiliki pen drive Kevin yang dihantar kepada saya melalui pos sebelum dia meninggal dunia," kata Charles.

Charles berkata ia (pen drive) kini selamat di Amerika Syarikat, dan telah mengarahkan supaya kandungannya didedahkan kepada umum jika sesuatu yang tidak diingini berlaku kepadanya (Charles) selepas pendedahan ini dibuat.

Pendedahan ini timbul selepas  adik bongsunya, Richard menuntut mayat Kevin dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur dan dilaporkan telah menguruskan proses pembakaran mayat itu. Ia dikatakan bertentangan dengan kehendak keluarga mereka.

Kevin Morais, Charles Morais

Artikel Lain