suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Banduan dijadikan ‘kuli’, warden penjara ‘seludup’ keluar suruh bersihkan rumah

Membawa banduan keluar dari penjara bagi tujuan peribadi adalah satu kesalahan. -Gambar hiasan

SEORANG pegawai penjara yang didakwa membawa dua banduan wanita keluar kebenaran untuk membersihkan rumah persendiriannya ditahan polis selepas hampir dua bulan melarikan diri.

Warden penjara yang sebelum ini digantung tugas susulan insiden berkenaan ditahan pada Rabu lalu sebelum dihadapkan ke mahkamah yang memerintahkan dia direman dalam tahanan kehakiman.

Timbalan Penguasa Polis (DSP) North, Shivam Joshi berkata, ketika kejadian, suspek, Divya Chaudhary bertugas sebagai warden di Penjara Pusat Ajmer, India.

Dia didakwa membawa dua banduan wanita, Kiran dan Sana, keluar dari penjara menggunakan kenderaan persendirian pada 12 Julai tanpa kebenaran mahkamah.

Suspek juga tidak merekodkan pergerakan mereka dalam daftar penjara.

Kedua-dua banduan itu sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup bagi kes pembunuhan berasingan.

Menurut Joshi, mereka kemudian dibawa ke pangsapuri persendirian milik Divya di ARG City, Ajmer, sebelum diarahkan membersihkan kediaman berkenaan.

Susulan kejadian itu, satu kes didaftarkan di Balai Polis Civil Lines pada 5 Ogos, manakala Divya dan seorang pengawal penjara, Sonia Chaudhary, digantung tugas.

Polis berjaya mengesan lokasi Divya menerusi bukti teknikal sebelum menahannya di sebuah pangsapuri kediaman di Kota.

Siasatan turut mendapati Divya dan Sonia didakwa mengugut kakitangan wanita di pintu masuk utama penjara selepas mereka membantah tindakan membawa keluar kedua-dua banduan berkenaan.

Kedua-dua banduan itu kemudiannya dibawa semula ke penjara, manakala laporan mengenai kejadian tersebut dikemukakan kepada pegawai kanan.

Polis masih mengesan Sonia yang dipercayai masih melarikan diri. -Agensi

Artikel Lain