suria

Shafie, Palanivel Tidak Hadir Undian Bajet 2016

KUALA LUMPUR: Dua bekas menteri yang dipecat daripada Kabinet pada Julai lalu tidak hadir semasa pengundian belah bahagian Bajet 2016 di peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Isnin.

Mereka ialah bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel.

Palanivel adalah Ahli Parlimen Cameron Highlands manakala Shafie mewakili kawasan Semporna.

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan itu juga bagaimanapun hadir semasa pengundian.

Undian belah bahagian menyaksikan 128 wakil rakyat menyokong supaya perbahasan Bajet 2016 di bawa ke peringkat seterusnya manakala 74 lagi menentang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir dalam Dewan Rakyat untuk menyaksikan Bajet 2016 diundi untuk bacaan kedua.

Tujuh daripada Ahli Parlimen PAS berkecuali daripada mengundi sejajar dengan ikrar parti itu untuk bersikap neutral.

Walau bagaimanapun, Ketua Whip PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar merupakan antara tiga Ahli Parlimen dari parti Islam itu yang mengundi menentang Bajet 2016.

Dua lagi wakil rakyat PAS ialah Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaki dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Mazian Nik Mohamad.

Difahamkan wakil rakyat Bebas, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyokong Bajet 2016.

Bajet 2016

Artikel Sebelum

Vape Bahaya - Dr Mahathir

Artikel Berikut

Artikel Lain