suria

Pemandu Teksi Dilarang Sertai Demo

KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyertai Perhimpunan Aman Warga Teksi yang dijadual berlangsung di ibu negara Rabu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata perhimpunan itu melanggar undang-undang, dan mereka yang terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) kerana tidak mendapat kebenaran daripada tuan punya pemilik tempat.

Zainol berkata pihaknya telah menerima notis daripada Persatuan Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang bagi mengadakan perhimpunan itu di sekitar kawasan Kraftangan di Jalan Conlay, Padang Merbok, Masjid Negara dan Dataran Merdeka pada 6 November lepas.

"Notis yang dikemukakan mereka tidak dapat diproses kerana tidak disertakan surat kebenaran tuan punya tempat perhimpunan tersebut diadakan.

"Sekiranya perhimpunan itu diadakan, maka perhimpunan itu satu perhimpunan yang tidak mengikut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Antara objektif utama perhimpunan ini adalah untuk mendesak rombakan dilakukan terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) serta menggesa kerajaan mengharamkan aplikasi 'Uberteksi' dan 'Grabcar' yang dilihat menjejaskan periuk nasi pemandu teksi.

Pada masa sama, Zainol menasihatkan agar pemilik permit teksi menentukan bahawa teksi mereka tidak digunakan bagi tujuan perhimpunan.

"Sekiranya teksi-teksi itu digunakan di dalam perhimpunan, maka polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada," katanya.

Pemandu Teksi, SPAD

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain