suria

Keterangan Bekas Pengarah CCID Tidak Relevan Dengan Kes Liwat Anwar

PUTRAJAYA: Keterangan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Datuk Ramli Yusuff tidak akan mendedahkan apa-apa bukti berhubung pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai konspirasi politik dalam permohonan bagi semakan sabitan kes liwat, Mahkamah Persekutuan di sini diberitahu pada Isnin.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memberitahu barisan panel lima orang hakim bahawa keterangan Ramli mengenai 'insiden mata lebam' membabitkan Anwar pada 1998 adalah tidak relevan dengan pertuduhan liwat kedua yang dihadapi Anwar kerana kedua-duanya ialah isu yang berbeza.

Beliau berkata dakwaan mengenai konspirasi untuk memalsukan bukti dalam insiden tersebut adalah terlalu tipis untuk diterima sebagai bukti untuk menyokong dakwaan Anwar mengenai konspirasi politik.

Anwar, 68, mendakwa bahawa dalam 'insiden mata lebam', matanya ditutup, tangannya digari apabila dipukul oleh Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Rahim Noor pada 1998 semasa dia ditahan.

Ramli memberi keterangan dalam kes sivil di Mahkamah Tinggi, mendakwa bahawa beliau diarahkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan dan Pendakwaan) ketika itu, Tan Sri Musa Hassan, untuk memalsukan bukti dalam 'insiden mata lebam'.

Anwar Ibrahim, Kes Liwat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain