suria

Dua Kenderaan Terperangkap Dalam Banjir Kilat Di Ibu Kota

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Dua buah kenderaan dilapor terperangkap dalam banjir kilat di ibu negara akibat hujan lebat sejak pukul 4 petang tadi di Jalan Semantan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata seramai lima anggota ditugaskan ke lokasi kejadian setelah pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.53 petang.

"Bagaimanapun jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan banjir akibat kesesakan lalu lintas dan memaksa anggotanya berjalan kaki ke lokasi tersebut," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata setiba di lokasi, anggota bomba dan penyelamat mendapati terdapat dua buah kenderaan terperangkap dalam banjir, namun tiada mangsa dalam kenderaan tersebut.

Katanya siasatan awal mendapati longkang di kawasan terbabit tersumbat dipercayai akibat kerja-kerja pembinaan di kawasan berhampiran. 

Azizan berkata operasi seterusnya diserahkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menarik kereta terbabit.


Sementara itu, jurucakap polis trafik berkata sehingga pukul 6.30 petang ini, trafik bergerak perlahan di kawasan tersebut.

Artikel Lain