suria

Keganasan Di Paris Tak Boleh Dikait Dengan Mana-Mana Agama - Asyraf Wajdi

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
BUKIT MERTAJAM: Keganasan yang berlaku di Paris, Perancis tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana agama, khususnya Islam kerana tiada agama yang membenarkan penganutnya melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata masyarakat antarabangsa perlu berlaku adil dan tidak sepatutnya mengaitkan keganasan dengan label militan Islam.

"Saya bersama-sama masyarakat dunia mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang berlaku itu dan ajaran Islam melarang keras perbuatan ekstremisme sekalipun ketika umatnya sedang berada dalam peperangan.

"Sebagai contoh Rasulullah SAW meletakkan syarat penting dalam peperangan yang mana umat Islam tidak boleh membunuh orang awam, kanak-kanak, kaum wanita atau orang tua.

"Malah, mereka yang mencari perlindungan di rumah ibadat juga tidak boleh dibunuh dan ini menunjukkan agama Islam tidak sesekali menyokong perbuatan militan termasuk dalam keganasan di Paris," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Asyraf Wajdi ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Multaqa dan Penyampaian Anugerah Pegawai Masjid, Guru Takmir dan Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) peringkat negeri.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Asyraf Wajdi mengulas mengenai keganasan di Paris, Perancis pada Jumaat malam yang menyebabkan lebih 100 orang terbunuh dan lebih 200 yang lain cedera yang dikaitkan dengan kumpulan militan IS.


Beliau turut meminta masyarakat antarabangsa berlaku adil dan tidak mengaitkan sebarang bentuk keganasan dengan agama Islam kerana menurutnya keganasan turut dilakukan penganut agama lain.

"Kejadian seperti itu bukan hanya berlaku di Paris tapi juga sedang melanda negara Syria dan bumi Palestin.

"Jadi, seluruh masyarakat dunia perlu bersatu dan bersama-sama mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang sedang berlaku di seluruh dunia ketika ini," katanya.

Artikel Lain