suria

Malaysia Tidak Dapat Lari Selain Menandatangani TPPA - Mustapa

KUALA LUMPUR: Malaysia digambarkan seolah-olah tersepit dan tidak dapat lari daripada menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ini kerana secara keseluruhannya, TPPA mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding kelemahan.

"Kesimpulannya dalam dunia ini tak ada benda yang sempurna.

"Dalam TPPA yang baik lebih banyak, maka rugilah jika kita tak sertainya," katanya ketika memberi penerangan pada Majlis Penerangan Perdana 1MDB, TPPA, Bajet 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Sabtu.

Majlis anjuran Penerangan Umno ini dihadiri kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada wakil daripada agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan.

Bagaimanapun Mustapa berkata pihak belum mempunyai keputusan muktamad dan ia hanya akan diketahui selepas pembentangan di Parlimen pada hujung Januari 2016.

Ketika sesi penerangannya selama lebih kurang 45 minit, Mustapa banyak menjelaskan tentang isu dan persoalan yang menjadi kebimbangan dan pernah dibangkitkan sebelum ini.

Antaranya termasuklah menjelaskan bahawa Perlembagaan tidak akan dipinda dengan menandatangani TPPA, hubungan kerjasama strategik dengan China tidak akan terjejas dan hak Islam serta bumiputera akan terus dijaga.

Beliau turut mengulangi manfaat yang akan diperolehi Malaysia dari segi mendapat layanan istimewa import-eksport serta akses pasaran lebih luas dari Amerika Syarikat, Mexico, Kanada dan Peru.

Mustapa menegaskan, ke arah menandatangani TPPA setiap negara mempunyai motif dan kepentingan masing-masing yang mahu dicapai.

"New Zealand mahukan akses yang lebih untuk produk tenusu mereka, Jepun untuk pasaran kereta...begitu juga Malaysia, masing-masing ada kepentingan dan dalam melaksanakan ini motif AS untuk mengurangkan pengaruh China di Asia mungkin ada kebenaran.

"Perlu ada kuasa untuk mengimbangi pasaran dunia...jika Amerika sahaja atau China sahaja (kawal) dunia akan jadi kelam kabut," katanya\.

Seterusnya beliau menerangkan tentang keburukan atau kerugian sekiranya Malaysia meminggirkan TPPA.

Katanya selain kurang menarik sebagai destinasi pelaburan, negara tidak mendapat pengecualian dan fleksibiliti untuk mempertahankan kepentingan negara.

"Penyertaan di kemudian hari terpaksa menerima segala kandungan perjanjian yang telah ditetapkan, tiada fleksibiliti diberi.

"Kita juga akan berdepan saingan sengit dari negara jiran seperti Vietnam dan Singapura dalam menarik pelabur asing," katanya.

Katanya setakat ini sebanyak 12 negara telah bersetuju untuk menandatangani TPPA termasuklah Jepun, Kanada, Australia dan Vietnam.

TPPA, Amerika Syarikat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain