suria

IS Rancang Satukan Sel Pengganas Berbeza Di Malaysia, Indonesia & Filipina

KUALA LUMPUR: Anggota militan Negara Islam (IS) warganegara Malaysia yang bersembunyi di selatan Filipina merancang untuk membentuk kumpulan IS di Asia Tenggara secara rasmi.

Kumpulan IS di rantau ini juga merancang untuk menyatukan sel pengganas berbeza di Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Ia termasuklah antara lain Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan beberapa kumpulan pengganas lain di rantau ini.

Individu penting di sebalik rancangan tersebut adalah bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr Mahmud Ahmad, individu paling dikehendaki kerana terlibat dengan IS bersama dengan sekutunya, pemilik kedai runcit, Mohd Najib Husen dan bekas kakitangan Majlis Perbandaran Selayang, Muhammad Joraimee Awang Raimee, 39.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Dr Mahmud atau lebih dikenali sebagai Abu Handzalah sedang aktif berlatih dengan ASG selain terlibat dalam beberapa operasi keganasan di selatan Filipina.

Ayob Khan Mydin Pitchay.

"Sumber risikan menunjukkan dia terlibat dalam dua serangan bom ke atas tentera Filipina baru-baru ini.

"Kami percaya ASG menyifatkannya sebagai aset penting," katanya kepada The Star pada Jumaat.

Namun Ayob menegaskan Dr Mahmud tidak berpuas hati hanya terlibat dengan ASG.

Matlamat utamanya adalah untuk membentuk rangkaian IS di Asia Tenggara secara rasmi.

"Dia telah melafaz bai'ah atau sumpah setia dalam video tetapi untuk membentuk sel IS di Asia Tenggara, Dr Mahmud berlepas ke Syria dan berjanji setia di hadapan supremo IS, Abu Bakr al-Baghdadi.

"Kami mendapat maklumat ini menerusi sumber risikan yang memberitahu keutamaannya sekarang adalah berlepas ke Syria," kata Ayob.

Perkara sama boleh dikatakan untuk kumpulan pengganas yang berbeza terutama ASG di mana pemimpinnya melafaz bai'ah kepada Abu Bakr seperti yang dilihat dalam satu rakaman video.

"Kumpulan ini hanya dilihat sebagai sekutu IS, dan bukan sel IS secara rasmi," katanya.




Beliau berkata sekiranya rancangan Dr Mahmud berjaya, ia akan mendatangkan bahaya kepada rantau ini dengan kumpulan pengganas yang berbeza beroperasi di bawah perjuangan yang sama.

"Kami sedang bekerjasama dengan pasukan keselamatan di rantau ini terutamanya Filipina untuk memastikan perkara itu tidak berlaku.

"Kami percaya Dr Mahmud mencuba cara yang berbeza untuk mendapatkan laluan selamat ke Syria termasuk menggunakan dokumen pengenalan dan pasport palsu. Namun kita akan sentiasa berwaspada," katanya.

Ayob berkata pasukannya komited membanteras sebarang unsur keganasan asing mahupun domestik.

"Keutamaan kami adalah mengumpul maklumat risikan bagi memastikan kita sentiasa berada di atas berhubung perkembangan kumpulan militan.

"Kami sedang bekerjasama dengan rakan sejawatan di Filipina untuk mengesan dan menahan Dr Mahmud dan sekutunya," kata Ayob.

Ayob yang mengendalikan urusan berkaitan keganasan dalam tempoh lebih 20 tahun berkata ia bukan luar biasa bagi ahli akademik atau golongan cendiakawan untuk menjadi ketua seperti Dr Azahari Hussin dan Noordin Mat Top.

Ketiga-tiga individu tersebut - Dr Mahmud, Mohd Najib dan Joraimee – disenaraikan sebagai individu paling dikehendaki Bukit Aman sejak April 2014 selepas melarikan diri ke selatan Filipina.

Ayob turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti keganasan supaya menghubungi balai polis berdekatan atau bahagian anti-keganasan di talian 03-2266 7010 atau 011-2104 6850 atau e-mel ke [email protected].

Artikel Lain