suria

Tanah Runtuh: Batang Pokok Bukan Daripada Aktiviti Pembalakan

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) diberi taklimat mengenai kejadian tanah runtuh ketika meninjau lokasi kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur di Kilometer 52.4, Lentang Bukit Tinggi Jumaat. -fotoBERNAMA
BENTONG: Kayu balak yang dilihat ketika kejadian tanah runtuh pada Rabu bukan petunjuk terdapat aktiviti pembalakan di kawasan itu, kata Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada Jumaat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata apa yang dilihat itu hanyalah serpihan yang terkumpul di kawasan itu sejak bertahun-tahun dulu.

Dr Wan Junaidi berkata kayu-kayu balak itu telah dihanyutkan semasa kawasan tadahan air melimpah.

Beliau menegaskan bahawa kayu-kayu balak yang dilihat adalah batang pokok lama, dengan sesetengahnya telah terlucut kulit kayunya.

Dr Wan Junaidi berkata ia juga bukan jenis pokok balak yang dikumpul untuk pembalakan.

"Saya tidak dapat mencari tanda-tanda pembalakan, penanaman atau aktiviti pembersihan tanah," katanya kepada media selepas melakukan pemeriksaan di lokasi.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak boleh menafikan jika sememangnya berlaku aktiviti pembalakan, kerana pemerhatian itu dibuat berdasarkan pemeriksaan awal.

Dr Wan Junaidi berkata tiada kegiatan pembalakan kerana Hutan Lentang ialah hutan simpan.

Beliau berkata, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Mineral dan Geosains telah melakukan siasatan bersama bagi menyiasat punca kejadian tanah runtuh itu.

Laporan dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.

Dr Wan Junaidi melawat kawasan itu untuk memberikan bantuan kepada kakitangannya dari Jabatan Perhutanan.

Bencana pada Rabu menjejaskan kuarters Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang terletak berhampiran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, menyebabkan 14 keluarga terpaksa dipindahkan.

14 keluarga itu telah ditempatkan sementara di sebuah masjid di Lentang kerana bimbang kawasan itu dilanda tanah runtuh sekali lagi.

Artikel Lain