suria

Jakim Perlu Jadi Badan Bebas - Zaharin

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu menjadi sebuah badan bebas daripada politik, kata seorang pemimpin akar umbi Umno.

Bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin berkata kerajaan seharusnya tidak memainkan peranan dalam Jakim atau Islam.

"Ia tidak termaktub dalam perlembgaan bahawa kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dalam hal berkaitan Islam.

"Perlembagaan Persekutuan hanya menyatakan Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Namun ia tiada dalam apa jua cara sekalipun memberi kuasa kepada kerajaan Persekutuan ke atas hal ehwal Islam," katanya.

Beliau menegaskan hal ehwal Islam pada ketika ini berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, oleh itu Jakim tidak berperlembagaan.

"Islam tidak seharusnya dipolitikkan, ia sepatutnya menjadi sebuah badan bebas dari campur tangan kerajaan," katanya.

Zaharin berkata Jakim dan pegawai-pegawainya sepatutnya menjelaskan kepada Parlimen.

Beliau juga menegaskan kedudukan menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal agama, jawatan yang disandang Datuk Seri Jamil Khir Baharom perlu dimansuhkan.

Zaharin juga menyatakan beliau tidak bersetuju dengan amalan Jakim campur tangan dalam kehidupan umat Islam dan memalukan mereka yang dianggap tidak Islamik.

"Saya tidak bersetuju dengan amalan Jakim memalukan segelintir individu. Saya fikir ia memalukan Islam.

"Jakim menyerbu hotel dan kediaman untuk menangkap mereka yang berkhalwat dan membawa media bersama mereka. Mereka memalukan individu tersebut. Dan saya tidak bersetuju dengan tindakan ini," katanya.

Peranan Jakim menjadi bualan hangat selepas anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tawfik Ismail menggesa agar badan agama itu dimansuhkan.

Namun, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dalam respons balasnya kepada Tawfik menjelaskan jabatan itu masih lagi relevan.


Jakim, Zaharin Mohd Yasin, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain