suria

Skim Air Percuma Bergantung Pada Kewangan Negeri - Azmin

SHAH ALAM: Skim pemberian air percuma kepada rakyat Selangor bagi 2017 dan tahun seterusnya, bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri, kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata ia berikutan skim yang diperkenalkan sejak 2008 itu membabitkan jumlah peruntukan besar.

"Untuk 2016 kita akan teruskan (skim air percuma) seperti yang kita umumkan dalam bajet sebelum ini kerana kita telah pun memperuntukkan RM170 juta bagi tujuan itu.

"Bagaimanapun untuk tahun seterusnya (selepas 2016) kita akan lihat kemampuan kerajaan negeri memandangkan kos untuk skim itu, agak tinggi," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, Jumaat.

Mohamed Azmin (PKR-Bukit Antarabangsa) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tiew Way Keng (DAP-Teratai) mengenai sama ada kerajaan akan meneruskan pemberian air percuma kepada rakyat Selangor dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sebelum ini, Mohamed Azmin berkata, pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu bagi rakyat Selangor akan diteliti semula bagi memastikan skim berkenaan benar-benar sampai kepada golongan sasar termasuk pengguna berpendapatan rendah.

Katanya, dasar itu dilihat tidak menepati matlamat apabila rata-rata pemberian itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.-- Bernama

Selangor, Azmin Ali, air

Artikel Sebelum

Artikel Lain