suria

Ibu Pelakon Ummi Nazeera Dibebas Beri Keterangan Palsu

Datuk Maziah Musa. Foto dipetik dari Instagram beliau.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini pada Khamis  melepas tanpa membebaskan ibu pelakon Ummi Nazeera daripada pertuduhan memberi keterangan palsu ketika menjadi saksi pendakwaan kedua di Mahkamah Sesyen, dua tahun lepas.

Majistret Saifulakmal Said membuat keputusan itu terhadap Datuk Maziah Musa, 51, seorang ahli perniagaan, selepas peguam Hanif Abdul Rahman mewakili tertuduh memaklumkan bahawa representasi yang dikemukakan pembelaan berhubung pertuduhan itu diterima pihak pendakwaan.

"Peguam membuat representasi supaya pertuduhan terhadap anak guamnya ditarik balik dan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu, tetapi mahkamah hari ini (Khamis)  membuat keputusan untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh," katanya.

Ummi Nazeera (kiri) bersama ibunya Datuk Maziah Musa ketika di mahkamah. Gambar dari Sinar Harian ini dirakamkan pada 2014.

Mahkamah juga memerintahkan supaya wang jaminan RM2,500 dikembalikan kepada penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhd Faizal.

Ummi Nazeera yang membintangi drama bersiri popular, Nur Kasih dan filem Hikayat Merong Mahawangsa turut hadir di mahkamah pada Khamis yang ditetapkan untuk sebutan kes ibunya itu.

Pada 7 Okt lepas, Maziah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi keterangan palsu semasa pemeriksaan balas ketika perbicaraan kes jenayah di hadapan Hakim Norsharidah Awang di Mahkamah Sesyen Jenayah 1, Jalan Duta, di sini, pukul 11.43 pagi, 25 Nov 2013.

Tertuduh didakwa memberi keterangan palsu dengan menyatakan dia tidak pernah berkahwin semula dengan bekas suaminya Datuk Zainulabidin Mat Akhir, 64, seorang usahawan, atau berkahwin lain dengan mana-mana individu setelah berpisah dengan lelaki itu, yang mana dia tahu kenyataan itu adalah palsu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Ummi Nazeera, Maziah Musa

Artikel Sebelum

Artikel Lain