suria

Rajinikanth Rai Deepavali, Teruskan Penggambaran Kabali

Rajinikanth meraikan Deepavali bersama kru filem Kabali sebelum meneruskan penggambaran di Pulau Carey.

BANTING: Perayaan Deepavali dirai pelakon terkenal Tamil, Rajinikanth dengan meneruskan penggambaran filemnya yang ke 159, Kabali di Pulau Carey, dekat sini.

Sebelum penggambaran bermula, kru filem itu mengadakan perjumpaan dengan Rajinikanth yang lebih dikenali sebagai 'Thalaivar' (ketua) atau bos itu di bilik pelakon itu di Amverton Cove Golf and Island Resort, Pulau Carey.

Pengarah Urusan Malik Streams Corporation, Abdul Malik Dasthigeer berkata, seramai 35 kru berkumpul pada pukul 8.30 malam untuk meraikan perayaan itu tetapi tetap meneruskan sesi penggambaran selepas jamuan selesai.

"Rajini mendoakan penggambaran akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Dia juga mendoakan dan memberikan ucapan Deepavali kepada peminatnya," kata Abdul Malik.

Semua kru filem Kabali memulakan penggambaran di Pulau Carey pada 6 November dan dijangka selesai pada 12 November ini.

Mereka seterusnya akan berada di sekitar ibu negara bagi  meneruskan penggambaran sehingga 21 November sebelum ke Bangkok, Thailand untuk sambung penggambaran.

Filem Kabali yang diinspirasikan daripada kehidupan sebenar kumpulan samseng diarahkan oleh Pa. Ranjith dan menampilkan Rajinikanth.


Artikel Lain