suria

Keputusan Tarik Balik Pengharaman Buku, Pulangkan Salinan Yang Dirampas Kekal

PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Rayuan untuk menarik balik pengharaman dua buku kartun oleh kartunis Zunar dan untuk semua salinan yang dirampas Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2010 untuk dipulangkan kepadanya, dikekalkan.

Ini berikutan keputusan lima anggota panel hakim Mahkamah Persekutuan hari ini yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara menolak rayuan Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

"Pada pandangan kami tiada merit dalam rayuan itu. Kami bersetuju dengan Mahkamah Rayuan. Rayuan dibatalkan," kata Hakim Md Raus.

Pada 2010, Mkini Dotcom Sdn Bhd, yang mengendalikan portal berita Malaysiakini, dan penerbit Sepakat Efektif Sdn Bhd, bagi pihak Zulkiflee SM Anwarul Haque, seorang kartunis politik yang menghasilkan kartun menggunakan nama pena 'Zunar', memfailkan dua permohonan semakan kehakiman secara berasingan untuk mencabar keputusan mengharamkan kedua-dua buku dan rampasan 33 salinan buku.

Buku-buku itu bertajuk "1 Funny Malaysia" dan "Perak Darul Kartun". kini Dotcom dan Sepakar Efektif menamakan Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman mereka.

Bagaimanapun, pada 14 Julai 2011, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman itu menyebabkan mereka membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 9 Oktober tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka dan menarik balik pengharaman ke atas kedua-dua buku itu dan mengarahkan salinan buku-buku, yang dirampas Kementerian Dalam Negeri untuk dikembalikan kepada Zunar.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Ariff Mohd Yusof ketika itu, yang kini telah bersara, memutuskan tidak ada bukti munasabah buku-buku itu sebagai ancaman kepada ketenteraman awam.

Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan pada 12 Mei tahun ini untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Sebelum itu, panel yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Abu Samah Nordin, Datuk Zaharah Ibrahim dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Balia Yusof Wahi mendengar hujah daripada peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili perayu dan peguam K. Shanmuga bagi syarikat-syarikat itu.

Shamsul berhujah adalah sah bagi Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku-buku itu atas alasan buku-buku itu memudaratkan ketenteraman awam.

Bagaimanapun, Shanmuga berhujah Mahkamah Rayuan mempertimbang dengan betul  terdapat bukti yang tidak cukup ia menjejaskan ketenteraman awam.-- Bernama 

Mahkamah Rayuan, Mkini Dotcom, Zunar

Artikel Lain