suria

Potensi Besar Perluasan Kerjasama Malaysia-UK Dalam Bidang Keselamatan - TPM

LONDON: Malaysia dan United Kingdom memiliki potensi besar menjalin kerjasama dua hala yang lebih erat dalam bidang keselamatan terutamanya soal pencegahan aktiviti jenayah rentas sempadan dan kegiatan cegah keganasan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara ini, kata Timbalan Perdana Menteri disepakati pada pertemuan beliau dengan Setiausaha Dalam Negeri United Kingdom, Theresa May di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengadakan pertemuan sulung dengan rakan sejawatannya dari United Kingdom itu, dalam lawatan empat hari ke negara itu sejak Ahad.

Bercakap pada sidang media bersama wartawan Malaysia di hari ketiga lawatannya di sini, Timbalan Perdana Menteri berkata perkembangan terbaru itu membuka ruang kepada pengukuhan beberapa perjanjian sedia ada antara Malaysia dan United Kingdom dalam bidang keselamatan.

Ahmad Zahid berkata antara lainnya Malaysia berminat untuk belajar dari pengalaman United Kingdom dalam pengurusan National Tracking Border Centre (NBTC) dan program polis komuniti di Manchester bagi menangani ancaman kumpulan pengganas.

"Pada perbincangan dengan May saya telah kemukakan beberapa cadangan termasuk cadangan menghantar pegawai-pegawai polis Malaysia untuk menjalani latihan di sini dalam bidang-bidang yang kita masih baru atau kita masih perlu kemaskinikan kemahiran dalam bidang keselamatan," katanya.

Program latihan itu, yang akan dimulakan sesuai dengan jadual latihan oleh pihak United Kingdom, membabitkan soal pengendalian aset-aset pemantauan maklumat terutamnya sistem komunikasi siber yang digunakan penjenayah rentas sempadan dan kumpulan daesh.

Pada pertemuan itu Ahmad Zahid telah secara rasmi mengundang May untuk membentangkan kertas kerja di Persidangan Antarabangsa Mengenai Radikalisasi dan Keganasan Melampau yang dijadualkan berlangsung di Malaysia pada 25 dan 26  Januari tahun depan.

Persidangan antarabangsa itu melibatkan penyertaan kesemua 10 negara Asean serta beberapa negara lain yang diundang termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.

Sebelum mengadakan pertemuan dengan May, Ahmad Zahid dan rombongan delegasi telah melawat NBTC di Manchester bagi meninjau secara lebih dekat pengurusan dan pengendalian sistem saringan dan analisis data bagi penumpang yang masuk ke UK melalui jalan udara.

Beliau dan rombongan juga melawat Ibu Pejabat Polis Greater Manchester meninjau program polis komuniti menangani aktiviti jenayah keganasan.-- Bernama

Malaysia, United Kingdom, Theresa May

Artikel Lain