suria

Akibat Birokrasi, Pesakit Buah Pinggang Putus Harapan

Razif ditemani isterinya Rosnani yang kecewa kerana masih tidak dapat menjalani pembedahan buah pinggang hingga kini.

SHAH ALAM: Mohd Razif Kamarudin, yang menghidap penyakit buah pinggang pada 2011 bagaikan putus harapan apabila tidak lagi menerima rawatan dialisis sejak empat tahun lalu.

Setahun kemudian, isterinya, Rosnani Ahmad 57, membuat keputusan untuk menyumbang sebahagian buah pinggangnya.

"Pemindahan itu sepatutnya dijadualkan pada Januari 2014," kata pesakit berusia 58 tahun itu.

Bagaimanapun, Razif terpaksa berdepan halangan susulan garis panduan baharu Kementerian Kesihatan yang menetapkan hospital swasta perlu mematuhi syarat sebelum dibenarkan melakukan pembedahan transplan.

Razif mengemukakan surat rayuan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam tetapi diberitahu bahawa ia berkaitan dasar yang ditetapkan dan tidak boleh dipersoalkan.

Pada Jun, keadaan buah pinggang Razif bertambah teruk dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi diberitahu pembedahan itu masih tidak boleh dilakukan walaupun selepas membuat rayuan kali kedua.

Razif kemudiannya memulakan semula rawatan dialisis pada Jun lalu.

Menerusi suratnya kepada The Star pada Oktober, Razif mengakui beliau sudah putus harapan.

"Saya tahu masih ada peluang untuk saya tetapi birokrasi menjadi penghalang," jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi pesakit, Devi yang berusia 30 tahun sepatutnya melakukan pembedahan tahun lepas selepas ibunya menjadi penderma.

Dia dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dijadualkan untuk menjalani pembedahan transplan pada April 2016, selepas dua tahun menunggu.

Bagi yang berkemampuan, pemindahan boleh dilakukan di Singapura dengan kos sebanyak RM749,500.

Menerusi garis panduan baharu ini, pesakit di PPUM terpaksa menunggu sehingga dua tahun berbanding tempoh menunggu biasa yang hanya tiga hingga empat bulan.

Perunding Kanan dan Ketua Jabatan Nefrologi HKL, Datuk Dr Ghazali Ahmad berkata, garis panduan untuk pembedahan transplan ini tidak menjejaskan angka di HKL.

"Pemindahan organ bagi penderma yang meninggal dunia dibuat hanya di HKL dan Hospital Selayang. Angka pesakit dan kes pemindahan organ kekal kurang daripada 50 di HKL dan Selayang kurang daripada 25 pembedahan transplan dalam setahun," katanya.

Dr Ghazali berkata, HKL kini ada lebih dari 100 pesakit buah pinggang yang mempunyai penderma sesuai dan menunggu untuk menjalani pembedahan transplan.

Angka pesakit meningkat kerana dewan bedah urologi dan unit rawatan rapi HKL ditutup hampir dua tahun untuk pengubahsuaian.

"Melainkan kemudahan ditambah baik dan pasukan pemindahan organ yang berdedikasi ditubuhkan, kita tidak boleh mengehadkan senarai menunggu lebih dari 100 pesakit," ujarnya.


Razif Kamarudin, buah pinggang, HKL

Artikel Lain