suria

PM Umum Penubuhan Pasukan Petugas Galak Kerjasama Akademia, Industri

Najib bergambar bersama sebahagian graduan SL1M selepas selesai Majlis Perjumpaan Khas Bersama Perdana Menteri bertemakan 'Enhancing Future Talent For A Progressive Nation' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas bagi menggalakkan kerjasama antara pihak akademia dan industri dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Perdana Menteri berkata pasukan petugas itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata kerjasama akademia dan industri bertujuan mewujudkan kurikulum universiti yang lebih berorientasi kepada keperluan pasaran dan bukannya berdasarkan kehendak fakulti.

"Semua program kita mesti berdasarkan kepada dua aspek iaitu perancangan dari segi universiti dan apa yang diperlukan oleh pasaran," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan khas peserta Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) bersama Perdana Menteri di sini, Rabu.

Turut hadir Abdul Wahid, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem dan 1,200 peserta SL1M yang menjalani latihan di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

Najib berkata kurikulum universiti juga perlu melibatkan elemen komunikasi, kemahiran insaniah, pemikiran kreatif, bekerja secara berdikari dan sebagai satu pasukan.

Jika pihak universiti berjaya mewujudkan kurikulum dan latihan berkesan, katanya kebergantungan graduan kepada program SL1M dapat dikurangkan.

"Jika universiti boleh mengambil alih latihan ini, kita boleh kurangkan SL1M kerana program ini agak mahal kosnya," kata beliau.

Malah, katanya kerajaan sedia memberi lebih peruntukan kepada universiti yang mampu melahirkan graduan yang diperlukan pasaran.

Justeru itu, kebolehpasaran graduan akan dijadikan indeks prestasi utama (KPI) bagi sesebuah universiti, jelas beliau.

Najib turut menyokong lima resolusi oleh jawatankuasa SL1M termasuk penyertaan syarikat multinasional dan syarikat senaraian awam (PLC) dalam program SL1M bagi membantu melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.

Beliau berkata ia sebagai sumbangan tanggungjawab sosial syarikat berkenaan dalam membantu Malaysia menjadi negara maju.

Dalam pada itu, Najib berkata tanpa dasar yang tepat dan bantuan kerajaan, mustahil bagi graduan mengoptimumkan potensi dan kebolehan mereka.

"Kalau kita pandai, ada kebolehan, ia memerlukan dasar-dasar yang membolehkan potensi kita menjadi kenyataan dan realiti.

"Tanpa dasar yang tepat, biasiswa, tanpa SL1M dan sudah tentu menuntut usaha gigih kita, tak mungkin kita berjaya," kata beliau.

Pada sidang media kemudian, Abdul Wahid berkata jawatankuasa SL1M telah mengemukakan lima resolusi yang diterima oleh kesemua pegawai dan ketua-ketua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Resolusi itu ialah memperluas pelaksanaan program SL1M kepada syarikat-syarikat multinasional dan syarikat-syarikat PLC; meningkatkan kemahiran insaniah dan kebolehpasaran; pengukuhan industri dan latihan; penggalakan kurikulum di institusi pengajian tinggi (IPT) berdasarkan keperluan semasa industri; dan kemasukan ke IPT berdasarkan keperluan industri.

"Kita telah mendapatkan komitmen daripada ketua-ketua syarikat untuk menyokong penuh kerjasama industri-akademia di mana antara lain, ketua-ketua pegawai eksekutif GLC telah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam program 'CEO Faculty'.

"Dalam program ini, mereka (CEO) akan memilih sebuah fakulti di IPT dan seterusnya memberi komitmen sebagai profesor adjung di IPT berkenaan dengan menyumbangkan sekurang-kurangnya 10 jam setahun memberi syarahan dan perbincangan dengan pihak IPT," katanya. - BERNAMA



Najib Tun Razak, SL1M

Artikel Berikut

Artikel Lain