suria

Elemen Inovasi Perlu Ditambah Dalam Sukatan Pendidikan Seni - Khairy

Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Sukatan mata pelajaran pendidikan seni di sekolah rendah dan menengah perlu ditambah baik dengan memasukkan elemen inovatif dalam usaha melahir belia berkemahiran kreatif yang dapat membantu menjana untuk ekonomi negara.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata penambahbaikan subjek itu adalah langkah persediaan jangka panjang bagi melahirkan belia yang boleh meningkatkan sumbangan industri kreatif dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia setaraf dengan negara-negara lain di Asia.

"Statistik pada 2014 menunjukkan sumbangan industri kreatif negara kepada KDNK sangat rendah iaitu kurang daripada dua peratus jika dibandingkan dengan Korea dan Thailand yang menyumbang 10 peratus, Indonesia tujuh peratus dan Singapura lima peratus.

"Saya berpendapat perlunya penambahbaikan atau rombakan sukatan mata pelajaran pendidikan seni dari semasa ke semasa dengan memasukkan elemen kreatif, inovatif dan seni visual supaya lebih menyeluruh.

"Ini supaya pelajar terdedah kepada transformasi kesenian, sekali gus boleh menyumbang pendapatan kepada negara pada masa akan datang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Seni Kebangsaan 2015 di sini, Rabu.

Sebagai contoh, katanya penambahbaikan dilakukan terhadap kursus rekaan fesyen di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang menghadapi masalah dari segi kebolehpasaran graduannya.

"Setelah menilai kelemahan kursus itu, saya memanggil beberapa pereka fesyen terkemuka tanah air untuk memberi pandangan dan idea bagi membolehkan kita menambah baik dan merombak kurikulum kursus berkenaan di IKBN untuk mendedahkan pelatihnya kepada perkembangan terkini dunia fesyen," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata kegagalan Malaysia membangunkan bidang kesenian menyebabkan negara kehilangan peluang untuk membangunkan industri kandungan kreatif, animasi dan reka bentuk industri yang sebenarnya mempunyai nilai tambah dan berpotensi besar dalam menjana pendapatan negara.

"Sebagai contoh nilai tambah dalam bidang reka bentuk industri adalah amat tinggi sumbangannya kepada pembinaan bangunan kilang dan pembangunan pelbagai inovasi dan penciptaan produk baru.

"Oleh itu, saya berharap semua pihak jangan hanya melihat kepada bidang kesenian hanya sebagai seni semata-mata. Bagi saya, bidang seni terbahagi kepada tiga aspek, pertama seni untuk nilai kesenian sendirian, kedua kesenian untuk perubahan kepada masyarakat, dan ketiga seni sebagai asas penting untuk membangunan inovasi dan pembangunan ekonomi," katanya.

Simposium Seni Kebangsaan 2015 yang berlangsung selama dua hari bermula pada Rabu dianjurkan oleh Balai Seni Visual Negara dan Malaysia Industry-Government Group for High Technology (MIGHT).

Ia menghimpunkan kira-kira 200 penggiat industri seni termasuk pelukis, kurator dan peniaga galeri yang akan berkongsi idea melalui forum dua hari itu bagi memperluaskan bidang seni negara ke peringkat antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Lain