suria

Hukuman Penjara Seumur Hidup Kepada Pesalah Pemerdagangan Manusia Disokong

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Banyak pihak menyokong cadangan kerajaan mengkaji kemungkinan menambah hukuman penjara dari 10 tahun sekarang kepada seumur hidup kepada pesalah pemerdagangan manusia di negara ini.

Penolong Pengarah D7C Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ACP Maszely Minhad yakin penjara seumur hidup akan mengurangkan jenayah berkenaan.

"Malah jika hukuman penjara seumur hidup tidak memadai ia perlu dinaikkan kepada hukuman gantung sampai mati," katanya.

"Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) juga perlu mengenakan hukuman sebat dan hukuman penjara mandatori supaya orang takut  melakukan kesalahan terbabit," kata Maszely.

Presiden Transparency International-Malaysia Datuk Akhbar Satar berkata penguatkuasaan undang-undang itu perlu dilakukan dengan penuh integriti bagi memastikan ia benar-benar berkesan.

"Kerajaan perlu memastikan ajen penguatkuasaan yang ditugaskan mempunyai integriti tinggi dan tidak terlibat dalam rasuah.

"Kalau undang-undang diperketatkan tetapi pesalah dilepaskan apabila membabitkan rasuah maka undang-undang yang dikuatkuasakan hanya sia-sia," katanya.

Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang dalam rangka lawatan ke United Kingdom mengumumkan Malaysia akan mengkaji pengalaman UK menangani pemerdagangan manusia dari segi pendekatan dan langkah-langkah pencegahan menerusi undang-undang lebih ketat.

Antara lain, kata Ahmad Zahid, Malaysia akan melihat kesesuaian tentang keperluan meminda undang-undang ATIPSOM. - BERNAMA 


Artikel Lain