suria

“Tak nak bawa mak ayah ke Makkah?” - Leader MLM guna sentimen agama, pujuk geng cikgu jadi ‘downline’ jual korset

Guru juga mahu menjana pendapatan sampingan. -Gambar hiasan

AWAS! Penipuan scammer tidak mengenal mangsa kerana sesiapa sahaja boleh terjebak.

Bukan sahaja penipuan dalam bentuk pelaburan, sindiket ini juga sering berselindung di sebalik skim pemasaran pelbagai peringkat (MLM)

Namun adakah benar golongan pendidik menjadi antara sasaran utama scammer dan geng kaki MLM?

Personaliti media sosial, Mohd Fadli Salleh berkata, guru merupakan antara kakitangan awam yang paling ramai dalam kerajaan.

Membuat pengiraan perbelanjaan bulanan. -Gambar hiasan

"Senang tembak loan (pinjaman). Bawa slip gaji tiga bulan, setakat RM100,000 celah kuku. Paling mereka target ialah guru-guru muda.

"Sebab apa? Sebab slip gaji masih 'dara', belum ternoda oleh apa-apa loan. Paling senang nak lulus," ujar bekas guru itu menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengimbas kembali, dia yang lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli berkata, terdapat satu syarikat MLM yang terkenal menjual korset dan penapis air pada harga tinggi.

Menurutnya, tiga rakan setugasnya menyertai MLM berkenaan.

"Mereka nak yakinkan aku suruh join juga, tapi tak berjaya. Lalu skrip biasa mereka gunakan, mereka ajak makan di kedai mamak. Baru duduk tak sampai lima minit, sampai leader mereka dengan BMW.

"Diperkenalkan diri, dia mula keluarkan ayat paling keramat, 'Tak terasa nak bawa mak ayah ke Makkah ke? Tak teringin nak bawa kereta BMW ke? Nak test drive kereta saya pun boleh'," katanya sambil tersenyum.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis nyaris masuk jerat geng MLM! Terkejut mentor usahawan kosmetik disanjung tinggi - “Seolah-olah dia paling hebat”

ARTIKEL BERKAITAN: Duit untung jual laksa habis beli seluar ’tight’ RM800, kawan kata mujarab untuk kesihatan... Pemuda syak ibu terjerat skim MLM!

Setelah hasutan pertama tidak berjaya, si leader kemudian mengeluarkan kertas A4 dan pen, dicontengnya untuk menunjukkan komisen dan itu belum lagi gaji lima angka tak sampai lima bulan katanya.

"Part paling best, dia suruh buat pinjaman peribadi RM25,000. Ambil 10 set penapis air atau 10 set korset atau campur antara dua tu," ujarnya.

Memikirkan keuntungan yang bakal diperoleh menerusi skim pelaburan. -Gambar hiasan

Susulan itu, Cikgu Fadli turut berkongsi bagaimana untuk tidak terjebak dengan skim sindiket seumpama itu.

"Saya tak pandai nak menjual bang. Karang tak laku, naya. Benda ni bukan murah, lebih RM2,000 seketul. Jarang orang ada tunai lebih RM2,000 ni.

"Cikgu jangan bimbang. Kita ada team yang akan bantu jual juga. Contohnya orang order korset dengan saya, stok korset saya dah habis. Saya ambil dengan cikgu, duit semua dia bayar kat cikgu.

"Team kita ni paling lama pun dua bulan je untuk langsaikan pinjaman. Lihat gaji saya sekarang," ujar Cikgu Fadli mengimbas kembali perbualan bersama leader itu yang menunjukkan satu slip tertera lebih RM60,000.

Jangan mudah terpedaya dengan kereta mewah dan ayat bawa mak ke Makkah.

MOHD FADLI SALLEH

Menurut Cikgu Fadli, dia kemudian memberi alasan dengan cuba meminjam daripada leader itu sebagai jalan penyelesaian.

"Baiklah, saya join team abang. Cuma part pinjaman bank tu saya tak nak buat. Saya pinjam duit abang dulu RM25,000, dah jual semua penapis air dan korset saya bayar terus kat abang. Kurang dua bulan je pun pinjam," balasnya dengan bersemangat.

Leader itu bagaimanapun menolak cadangan untuk meminjamkan wang dan cuba memujuknya supaya membuat pinjaman dengan bank.

"Kalau saya bagi cikgu pinjam, orang lain nak pinjam juga. Mana cukup duit saya nanti. Cikgu submit (permohonan) loan la. Saya ada kawan kerja di bank, paling lambat tiga hari confirm dapat," kata leader tersebut.

Seorang wanita tidak dapat menahan kesedihan. -Gambar hiasan

Disebabkan keenggan tersebut, Cikgu Fadli membuat 'keputusan' membatalkan hasratnya untuk menyertai MLM, sekali gus mengejutkan leader berkenaan.

"Berubah air muka dia, terus borak benda lain dengan kawan aku. Lepas tu terus dia kata ada kerja lain nak ke Perak. Lepas salam, dia pun beredar. Kata yakin dapat settle loan kurang dua bulan. Nak pinjam duit dia, tak bagi pula.

"Korang kalau ada geng MLM sembang (dakwa) pasti dapat sekian-sekian (jumlah) ni korang guna je alasan aku. Pinjam duit dia. Dah dapat komisen bayar terus, pasti dia takkan bagi.

"Alhamdulillah, terselamat aku daripada terjerat pinjaman bank 10 tahun, korset berkulat bawah katil," katanya secara sinis.

Susulan itu, Cikgu Fadli menitipkan pesanan kepada warga pendidik agar tidak mudah terpedaya dengan pujuk rayu scammer.

"Untuk adik-adik baru kerja, slip gaji masih dara, hati-hatilah semua. Ramai pemangsa sedang sasarkan anda. Jangan mudah terpedaya dengan kereta mewah dan ayat bawa mak ke Makkah okay!" katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain