suria

Kunjungan PM Suntik Semangat Letchumi Untuk Terus Bantu Masyarakat

Najib berkongsi kegembiraan bersama Letchumi (biru).

KUALA LUMPUR: Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke rumah N. Letchumi pada pagi Deepavali pasti sesuatu yang sukar dilupakan bagi wanita berusia 67 tahun itu.

Selain mengujakan anggota keluarganya, kehadiran Najib menyuntik semangat wanita itu untuk terus membantu masyarakat terutama kaum India.

Letchumi berkata dirinya sangat bertuah kerana mendapat peluang seumpama itu dan menganggap usahanya selama ini membantu golongan kurang bernasib baik terutama ibu tunggal, adalah tidak sia-sia.

"Saya sendiri adalah ibu tunggal, jadi saya tahu dan faham kesusahan menguruskan rumah tangga serta anak-anak seorang diri dan saya tidak mahu orang lain berasa susah seperti saya.

"Bila Perdana Menteri datang, saya sangat gembira dan lebih bersemangat membantu orang susah sebab beliau pesan agar terus berbakti kepada semua tidak kira latar belakang kerana kita umpama keluarga," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Katanya, detik menerima kunjungan seawal pukul 9.45 pagi daripada pemimpin tertinggi kerajaan itu pasti terpahat sebagai memori indah buatnya sekeluarga yang tinggal di Taman OUG di Jalan Klang Lama di sini.

Letchumi yang juga Bendahari Wanita MIC Kebangsaan dan Ketua Wanita MIC Bahagian Seputeh berkata, sebagai ketua masyarakat, beliau telah menjalankan tanggungjawab sebaiknya demi memajukan komunitinya.

"Saya sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk memberi bantuan seperti makanan dan pakaian sekolah kepada orang miskin dan saya juga menggalakkan orang lain mencontohi saya agar kita dapat sama-sama ringankan beban orang lain,"katanya.

Beliau dengan bantuan rakan-rakan juga berjaya mendapatkan latihan untuk lebih 120 wanita yang majoritinya ibu tunggal, bagi mempelajari kemahiran seperti bakeri, jahitan, gubahan bunga dan rawatan kecantikan.

Katanya lebih membanggakan hampir kesemua wanita itu telah berjaya dan ada dalam kalangan mereka yang sudah mempunyai kedai dan rangkaian perniagaan sendiri.

Letchumi berkata apabila kematian suami 31 tahun lepas, beliau bersusah payah membesarkan sendiri anak-anaknya dengan mengusahakan kedai makan di Salak Selatan.

"Suami saya dulu adalah pegawai TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan semasa dia meninggal dunia, anak-anak masih kecil dan tiada apa yang ditinggalkan kecuali rumah yang saya tinggal sekarang.

"Saya sangat utamakan pelajaran hingga semuanya berpelajaran tinggi dan mendapat kerja yang baik. Saya selalu galakkan anak berbakti kepada masyarakat dan mereka tidak lokek menyumbang melalui saya untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata kunjungan Perdana Menteri selama setengah jam itu juga menunjukkan betapa pemimpin nombor satu negara mengambil berat terhadap pemimpin masyarakat dan akan menjadi pembakar semangat untuk Letchumi terus aktif dalam MIC, khususnya.

Bersempena sambutan Deepavali hari ini, Najib meluangkan masa melawat keluarga Letchumi di kediamannya atas dasar keprihatinan dan sebagai menghargai jasa wanita itu. 

Najib kemudiannya memuat naik gambar bersama Letchumi dan keluarganya di Facebook dan Twitter sambil meminta orang ramai mencontohi sifat Letchumi yang memanfaatkan bantuan kerajaan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, kemudiannya menyumbang kembali kepada masyarakat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain