suria

i-Kad Akan Disertakan Bersama PLKS Atasi Kelewatan Serahan

Mustafa Ibrahim.

PETALING JAYA: Penyerahan kad identiti i-Kad untuk pekerja asing di negara ini akan dilaksanakan serentak bersama-sama dengan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) berbanding sebelum ini yang dibuat secara berasingan.

Ia merupakan inisiatif Jabatan Imigresen selepas menerima banyak aduan dan rungutan daripada pihak majikan mengenai kelewatan serahan i-Kad, memandangkan pekerja asing yang dikeluarkan PLKS akan turut dibekalkan kad tersebut.

Pendekatan baharu itu juga merupakan hasil pemantauan prestasi terhadap proses serahan i-Kad yang dilakukan oleh pihak vendor.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafa Ibrahim berkata, isu kelewatan sering ditimbulkan oleh majikan sehingga terdapat kes sebahagian i-Kad yang serahkan itu hampir atau telah tamat tempoh.

Beliau yang mengakui wujudnya masalah itu berkata, kadar boleh serah (success rate) bagi serahan i-Kad sebelum ini hanya mencatatkan antara 60 sehingga 70 peratus.

“Kita mengenal pasti kebanyakan kes yang menyebabkan kelewatan tersebut berpunca daripada pertukaran alamat majikan.

“Oleh yang demikian, Jabatan Imigresen memutuskan supaya i-Kad akan disertakan sekali bersama PLKS untuk diserahkan kepada majikan yang membuat permohonan pertama dan pembaharuan,” katanya dalam satu temuramah eksklusif dengan mStar Online.

i-Kad mula diperkenalkan pada 2013 untuk memudahkan pihak berkuasa mengesan pendatang asing tanpa izin (Pati) bagi membezakan pekerja yang sah atau tidak sah.

Ia mempunyai ciri keselamatan yang canggih termasuk elemen biometrik dan kod bar bagi memudahkan pemeriksaan pihak berkuasa.

Tempoh sah laku i-Kad adalah berdasarkan tempoh sah laku PLKS dan ia tidak melibatkan sebarang kos tambahan kepada majikan.

Bagaimanapun, i-Kad tidak boleh digunakan untuk menggantikan pasport atau dokumen perjalanan bagi kemasukan atau berlepas ke luar negara atau untuk perjalanan di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Mustafa berkata, sebagai peringkat awal inisiatif baharu itu telah mula dilaksanakan di Sarawak sejak 1 Oktober lalu diikuti Sabah pada awal bulan ini.

Beliau menambah, ia akan digerakkan secara berperingkat di pejabat imigresen yang menyediakan perkhidmatan permohonan PLKS pada akhir bulan ini.

“Ia akan melibatkan pemasangan mesin cetak i-Kad. Kita menjangkakan ia dapat dilaksanakan di kesemua 38 pejabat imigresen yang terlibat seluruh negara pada awal tahun depan,” katanya sambil menambah bahawa serahan i-Kad bagi permohonan memperbaharui PLKS secara dalam talian turut dilakukan secara berperingkat.

Sebanyak 1.16 juta i-Kad dikeluarkan pada tahun ini dari Januari sehingga 30 Oktober lalu. Daripada jumlah itu, 123,259 i-Kad dikeluarkan untuk pekerja asing dalam sektor pertanian, 128,902 (perladangan), 244,368 (pembinaan), 175,553 (perkhidmatan), 397,713 (perkilangan) dan 91,760 (pembantu rumah).

I-kad tersebut dikeluarkan kepada pekerja asing dalam pelbagai sektor mengikut warna yang ditentukan iaitu hijau bagi pertanian, perladangan (jingga), pembinaan (kelabu), perkhidmatan (kuning), perkilangan (merah) dan pembantu rumah (coklat).

Mustafa berkata, sejak inisiatif tersebut mula dilaksanakan, lebih 530 i-Kad telah diserahkan bersama-sama semasa penyerahan PLKS kepada majikan.

Sehubungan itu katanya, tidak akan timbul lagi masalah kelewatan serahan i-Kad apabila ia dibuat pada masa sama majikan mengambil atau menerima pelekat PLKS.

“Isu pertukaran alamat tidak akan berlaku lagi selepas ini kerana alamat yang digunakan adalah sama dengan butiran yang terkandung dalam permohonan pertama atau memperbaharui PLKS.

“Kita yakin dan percaya ‘success rate’ bagi serahan i-Kad ini akan meningkat kepada 100 peratus apabila ia dilaksanakan secara menyeluruh,” kata Mustafa.

i-Kad, PLKS, Jabatan Imigresen

Artikel Lain