suria

Ibu Bapa Dua Bayi Dakwa Diugut Kakitangan Klinik Kesihatan Kerajaan

IPOH: Ibu bapa kepada dua bayi yang baharu lahir mendakwa mereka diugut oleh doktor dan jururawat di klinik kesihatan kerajaan kerana menghantar anak mereka yang menghidap penyakit kuning ke hospital swasta.

Mereka mendakwa kakitangan tersebut memberitahu bahawa bayi tersebut tidak mungkin diberi suntikan vaksin yang disediakan kerajaan.

Seorang pereka grafik berusia 26 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Yan berkata, isterinya selamat melahirkan anak mereka di sebuah hospital swasta di sini pada 2 November lalu dan dibenarkan pulang keesokan harinya.

Dua hari kemudian, dia berkata seorang jururawat dari sebuah kinik kesihatan kerajaan datang melawat mereka dirumah dan mendapati anaknya menghidap penyakit kuning.

Yan berkata dia membawa bayi lelakinya itu ke klinik kesihatan di mana seorang doktor memberitahu bahawa tahap penyakit kuning anaknya terlalu tinggi dan bayi itu memerlukan rawatan segera di hospital kerajaan.

Apabila Yan bertanya jika dia boleh pergi ke hospital swasta, dia mendakwa doktor tersebut menegaskan bahawa dia mesti menghantar anaknya itu ke hospital awam atau berdepan kemungkinan bayi itu tidak mendapat suntikan vaksin yang disediakan kerajaan.

Katanya, dia akur dengan arahan tersebut dan membawa anaknya ke sebuah hospital kerajaan tetapi keseluruhan proses bermula daripada anaknya di masukkan ke wad sehinggalah ujian darah, mengambil masa selama lapan jam.

"Kemudian, seorang doktor dan jururawat memberitahu saya mereka tidak dapat menghantar ujian darah tersebut dengan segera kerana sudah hari Jumaat," katanya dalam satu temubual.

Yan berkata apabila dia tetap ingin mendapatkan keputusan ujian dengan segera kerana lebih suka mendapatkan rawatan untuk bayinya di hospital swasta, 'doktor tersebut memberitahu saya sebaik sahaja bayi itu dibenarkan keluar hospital kerajaan dan sekiranya hospital swasta tiada kekosongan wad, hospital kerajaan tidak akan menerima semula bayi saya'.

Beberapa hari kemudian, Yan mendakwa seorang jururawat dari sebuah klinik kesihatan menghubunginya semula bertanya mengapa dia tidak datang ke hospital kerajaan dan jika dia enggan berbuat demikian, jururawat itu akan membuat laporan polis.

Seorang ibu kepada bayi lain yang hanya mahu dikenali sebagai Lam berkata dia melahirkan bayi keduanya di sebuah hospital swasta pada 4 November lalu.

Suri rumah berusia 27 tahun itu berkata seorang jururawat dari sebuah klinik kesihatan datang ke rumahnya dan dia dimaklumkan untuk membawa bayinya ke klinik bagi pemeriksaan penyakit kuning.

Apabila bayi perempuan saya dibenarkan keluar dari hospital swasta pada Ahad selepas menerima rawatan penyakit kuning, Lam mendakwa jururawat sama melawat kedua-dua beranak itu dan menegaskan dia harus pergi ke klinik kesihatan kerajaan.

"Saya memberitahunya bahawa doktor di hospital swasta sudah menjalankan apa yang sepatutnya. Dia mahu melihat laporan itu dalam bentuk 'hitam putih'. Saya terpaksa menghubungi pakar kanak-kanak dari hospital swasta itu untuk bercakap dengan jururawat itu dan menjelaskan keadaan sebenar.

"Dia juga bertanya di mana saya mendapat suntikan vaksin untuk bayi saya pada masa akan datang," katanya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Juita Ghazalie meminta ibu bapa bayi tersebut supaya menyediakan maklumat yang diperlukan kepada jabatan tersebut.

Dr Juita berkata beliau memerlukan nama kakitangan yang terlibat dan tarikh kejadian.

Katanya, pengadu juga boleh menulis surat kepada jabatan tersebut.

"Tidak semua kakitangan kita mempunyai sikap sedemikian. Jadi saya perlukan laporan penuh dan untuk mendengar kenyataan di pihak lain juga," katanya.


klinik kesihatan kerajaan, ugut

Artikel Lain