suria

Mahkamah Tolak Saman Anak Bekas Menteri, Gagal Tuntut RM1 Juta

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang merupakan anak seorang bekas menteri pada Rabu gagal menuntut RM1 juta daripada sebuah syarikat dan tiga individu, yang didakwa menipunya.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman difailkannya pada Januari lalu.

Mohd Shazni Shafie memfailkan saman itu terhadap syarikat pengeluar bateri DT Synergy Sdn Bhd, dua pengarah syarikat iaitu Eddy Shahrizal Abd Halim dan Zul Hatta Shamsudin, serta perunding syarikat Azzuddin Shah Kassim.

Mereka dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Menurut peguam Dinesh Nandrajog yang mewakili kesemua defendan, Hakim Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu pada Isnin (2 November) lalu di dalam kamar dan memerintahkan Mohd Shazni membayar kos RM40,000.

Menerusi pernyataan tuntutan, Mohd Shazni mendakwa beliau telah menyerahkan wang berjumlah RM1 juta pada 2014 sebagai modal untuk menceburi perniagaan pembikinan dan pengeluaran bateri bersama-sama tiga defendan.

Namun dakwanya, ketiga-tiga defendan telah menipu dengan tidak menyenaraikannya sebagai salah seorang pembeli saham atau dilantik sebagai pengarah seperti yang telah dijanjikan sebelum menyerahkan RM1 juta.

Beliau kemudiannya menuntut pembayaran balik wang tersebut pada sekitar Jun 2014, namun gagal.

Sementara itu, menerusi pernyataan pembelaan keempat-empat defendan yang difailkan pada Feb lalu, mereka menafikan dakwaan plaintif dan mendakwa tidak pernah pada bila-bila masa memujuk, mempengaruhi dan meminta plaintif mengeluarkan wang RM1 juta itu.

Dakwa mereka lagi, defendan juga tidak pernah bersetuju dengan plaintif atas sebarang terma keuntungan kecuali bersetuju bahawa plaintif akan menerima 25 peratus saham daripada saham-saham yang dibeli oleh defendan pertama daripada syarikat terbabit.

"Plaintif telah melabur wangnya atas dorongan dan kepercayaan sendiri.

Defendan-defendan tidak pada bila-bila masa memaksa plaintif untuk melabur dalam pembelian saham syarikat.

"Plaintif juga secara pramatang mengambil keputusan untuk menuntut kembali jumlah wang tersebut daripada defendan-defendan (pada Jun 2014) dan tidak ingin lagi meneruskan pelaburannya walaupun tempoh perjanjian masih lagi belum tamat serta pindah milik saham syarikat belum lagi disempurnakan dan dijangka selesai pada Sept 2014 seperti yang diberitahu kepada plaintif," dakwa kesemua defendan. -- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain