suria

Dr Mahathir Silap Masuk Kumpulan - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad ke perhimpunan Bersih 4 bukan bertujuan menyokong kumpulan berkenaan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri berkata, kehadiran bekas perdana menteri itu pada perhimpunan yang berlangsung pada 29 dan 30 Ogos lalu adalah kerana beliau ‘tersilap masuk kumpulan’.

"Tun Mahathir itu seorang sahaja, beliau bukan menyokong, beliau tersilap masuk kumpulan itu sahaja,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Kenyataan Ahmad Zahid itu susulan nama Dr Mahathir disebut oleh salah seorang wakil rakyat yang berada di blok pembangkang, menyentuh mengenai kehadiran pemimpin Melayu dalam perhimpunan Bersih 4.

Ia sebagai menyokong ucapan Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang pada ketika itu berhujah menegaskan bahawa Bersih 4 tidak didominasi oleh orang bukan Melayu.

Ahmad Zahid sebelum ini menempelak pemimpin DAP itu kerana mendakwa kerajaan mengamalkan double standard terhadap dua perhimpunan iaitu Bersih 4 dan Himpunan Rakyat Bersatu atau lebih dikenali sebagai ‘kumpulan baju merah’.

“Harap Seputeh berpijak di bumi nyata. Bersih 4 siapa yang ramai? Sebenarnya ahli DAP yang ramai. Mereka mengharapkan pelbagai bangsa menyertainya,  tetapi satu bangsa sahaja yang hadir.

“Jangan tunding jari, berapa peratus yang menyertai Bersih 4 terdiri daripada yang bukan Melayu?” soal Ahmad Zahid.

Artikel Lain