suria

Transaksi SRC International Tidak Perlu Kelulusan Bertulis PM

KUALA LUMPUR: Semua transaksi utama SRC International Sdn Bhd tidak memerlukan kelulusan bertulis Perdana Menteri, demikian Dewan Rakyat diberitahu, Rabu.

Menerusi jawapan bertulis Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan berkata, peraturan itu selaras dengan Memorandum Pertubuhan atau Memorandum and Articles of Association (M&A).

“Artikel 116 dalam M&A SRC International hanya menetapkan dua perkara yang memerlukan kelulusan bertulis daripada Perdana Menteri.

“Ia membabitkan pindaan M&A, pelantikan dan penamatan pengarah serta pengurusan tertinggi syarikat,” kata Najib.

Beliau menjawab soalan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) yang ingin mengetahui sama ada transaksi utama SRC memerlukan kelulusan bertulis Perdana Menteri.

Sementara itu, menjawab mengenai persoalan sama ada SRC International membayar RM40 juta pada Disember 2012 dan RM10 juta pada Februari 2013 kepada Ihsan Perdana melalui anak syarikatnya Gandingan Mentari, Najib berkata, perkara itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“SPRM dan pihak berkuasa lain masih lagi menjalankan siasatan ke atas perkara ini.

“Justeru itu adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak memberikan sebarang komen mengenainya agar tidak mengganggu proses siasatan,” katanya.

SRC International Sdn Bhd merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan RM50 juta daripada SRC International disalurkan ke unitnya Gandingan Mentari Sdn Bhd, yang menyalurkannya pula kepada unit tanggungjawab korporat sosial 1MDB, Ihsan Perdana Sdn Bhd antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Ihsan Perdana, kemudian, didakwa mendeposit RM42 juta ke dalam akaun Najib. 



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain