suria

Tujuh Cedera Dalam Kemalangan Babitkan Empat Kenderaan

IPOH: Tujuh orang cedera ringan apabila empat kenderaan termasuk sebuah lori terbabit dalam kemalangan di Kilometer 394.5 Lebuharaya Utara-Selatan arah utara dekat Tanjung Malim arah di sini malam Isnin.

Kemalangan pada pukul 9.43 malam itu membabitkan seorang pemandu lori, pemandu dan penumpang Perodua Myvi, pemandu dan penumpang kereta Perodua Viva dan sepasang suami isteri yang menaiki kereta Proton Satria.

Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim Zaini Saleh berkata kesemua mangsa diberi rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tanjung Malim. 

Katanya, kemalangan itu berlaku apabila kereta jenis Myvi yang dinaiki dua lelaki terbabas lalu dirempuh dari arah belakang oleh lori membawa muatan pasir menyebabkan kereta tersebut 90 peratus terbakar.

Bagaimanapun, beliau berkata pemandu lori dan kereta serta penumpangnya berjaya keluar dari kenderaan tersebut.

Zaini berkata dua lagi kereta Proton Satria dan Perodua Viva turut merempuh belakang lori berkenaan.- BERNAMA

cedera, kemalangan

Artikel Lain