suria

Bunuh Pengasas AmBank: Siasatan Selesai, Tiada Lagi Suspek Diburu

Hussain Ahmad Najadi.

KUALA LUMPUR: Tiada lagi suspek diburu berhubung kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysian Hussain Ahmad Najadi dua tahun lepas dan siasatan berhubung kes berkenaan dianggap selesai.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata polis juga telah membebaskan seorang saksi kes berkenaan Selasa lepas.

"Setakat yang saya tahu siasatan telah selesai sepenuhnya, tiada lagi siasatan yang akan dijalankan melainkan kalau ada perkara baharu...yang terlibat sebelum ini sudah dituduh, didapati bersalah dan sedang menjalani hukuman penjara," katanya pada sidang media selepas pelepasan kenderaan rasmi ASEAN Cyclefest 2015 di sini Selasa.

Beliau diminta mengulas laporan Bernama semalam bahawa seorang ahli perniagaan tempatan yang ditahan polis pada 15 Oktober lepas berhubung kes berkenaan dibebaskan, selepas siasatan mendapati tiada keterangan ke atasnya untuk pertuduhan.

Suspek lelaki berusia 55 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 29 Julai 2013, Hussain, 76, maut manakala isterinya cedera parah selepas ditembak ketika mereka keluar dari kawasan Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon di sini.

Pada 5 September 2014, penarik kereta, Koong Swee Kwan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh Hussain dan dihukum penjara 18 tahun kerana didapati bersalah cuba membunuh isteri pengasas Ambank itu, Cheong Mei Kuen. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain