suria

Taktik Sembunyi Heroin Dalam Kotak Mi Segera Gagal Kaburi Polis

- Gambar hiasan
LANGKAWI: Cubaan dua orang suspek pengedar dadah menyembunyikan heroin di celah bungkusan mi segera untuk mengelak daripada dikesan, gagal apabila mereka berjaya diberkas selepas menerima bahan terlarang itu menggunakan perkhidmatan kurier.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Dr Che Ghazali Che Awang pada Ahad berkata suspek-suspek itu, seorang lelaki tempatan berumur 28 tahun dan seorang wanita Myanmar 44 tahun ditangkap kira-kira pukul 11 pagi Sabtu di Pusat Komersil Kelana Mas di sini.

Menurutnya sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Langkawi diketuai Insp Shaharuddin Shah telah memberkas kedua-duanya selepas berkelakuan agak mencurigakan dengan membawa satu kotak tertera jenama mi segera di hadapan premis syarikat kurier di sana.

"Menyedari kehadiran polis, lelaki berkenaan telah mencampakkan kotak yang dibawanya ke tepi jalan tetapi tindakannya itu berjaya dikesan," katanya di sini.

Katanya polis telah menemui empat peket plastik lutsinar berisi bahan yang disyaki heroin dengan anggaran berat 232 gram di celah-celah bungkusan mi segera di dalam kotak berkenaan.

Che Ghazali berkata siasatan awal mendapati lelaki itu dan wanita yang mendakwa pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Mengenai Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) telah beberapa kali membawa masuk dadah ke Langkawi menggunakan kaedah itu sebelum kegiatan mereka berjaya dikesan.

Katanya kedua-dua suspek telah menggunakan syarikat kurier untuk menerima bekalan yang kemudiannya diedarkan kepada penagih-penagih di sekitar kawasan Bukit Malut di sini.

"Dadah (yang ditemui dalam kotak) tersebut dianggarkan bernilai RM9,200 dan (dipercayai) dapat dibekalkan kepada kira-kira 2,000 orang penagih," katanya.

Menurutnya kedua-dua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Artikel Lain