suria

Trafik Sesak Di Kesas Akibat Hujan, Tanah Runtuh

Jentolak digunakan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan lumpur. -fotoTHESTAR
SHAH ALAM: Hujan lebat pada sebelah petang meninggalkan kesan lumpur di sepanjang Lebuh Raya Kesas akibat tanah runtuh dan banjir kilat kecil yang turut menyebabkan gangguan trafik.

Jurucakap lebuh raya berkata cerun di susur keluar Subang Jaya dari Kesas runtuh kira-kira pukul 4.40 petang semalam dan menyebabkan sebahagian dindingnya runtuh.

Kejadian tanah runtuh itu juga menyebabkan banjir kilat kecil di mana air berlumpur mengalir di cerun dan mengakibatkan tiga daripada empat lorong keluar tidak boleh diakses.

"Air surut pada 6.30 petang tetapi jalan agak berlumpur. Dua lorong telah dibuka semula dan kami sedang berusaha membersihkan kawasan tanah runtuh," kata jurucakap itu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak dipanggil untuk membantu kerja-kerja pembersihan.

Jurucakap itu berkata Kesas telah menanganinya secara dalaman kerana ia adalah kejadian 'kecil'.

Seorang pemandu Syed Asyraaf berkata tanah runtuh dan banjir kilat menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk bagi mereka yang menuju ke Subang Jaya.

"Saya mengambil masa hampir 40 minit berbanding lima minit perjalanan ke Subang dalam keadaan biasa," katanya.

Lembaga Lebuhraya Malaysia melaporkan berlakunya banjir kilat di sekitar Lembah Klang termasuk berdekatan stesen KTM Serdang di Besraya dan bulatan Puchong.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, setakat ini, pihak berkuasa hanya menerima satu laporan banjir kilat di kawasan awam, iaitu di Kampung Sri Langkas Tambahan di Kajang.

"Air dari longkang naik sehingga paras lutut di sana.

"Kami telah menghantar pegawai dari stesen Kajang untuk membantu operasi di sana," kata seorang jurucakap.

Beberapa kawasan di Balakong turut dilanda banjir kilat.

Di pusat bandar, Star Traffic Radio melaporkan kelewatan di Jalan Maharajalela, Jalan Syed Putra, Jalan Tun Razak, LDP Interchange dan di Lebuhraya Persekutuan dari PJ Hilton ke arah Mid Valley.

Di KUALA LUMPUR, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata Terengganu telah disahkan sebagai negeri yang mempunyai pengurusan banjir terbaik tahun lalu dan mereka merancang untuk melakukan yang lebih baik tahun ini.

"Kami sudah biasa dengan keadaan itu. Simulasi telah dijalankan dan penduduk di kawasan banjir yang terdedah telah diberikan panduan mengenai apa yang perlu dilakukan," kata Ahmad Razif semasa program Pesona Terengganu 2015 di Dataran DBKL.

Beliau berkata penduduk tahu ke mana hendak pergi jika pusat pemindahan banjir juga dinaiki air.

"Terdapat pelan B, C, D dan E," katanya.
tanah runtuh, banjir kilat, lumpur, Kesas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain