suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Sebulan tinggal sendirian selepas anak sambung belajar, warga emas ditemukan meninggal dunia

Anggota penyelamat menjalankan siasatan di kediaman mangsa. -Gambar Shin Min Daily News.

SEORANG lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia bersendirian di kediamannya kira-kira sebulan selepas anak bongsunya berangkat ke luar negara untuk melanjutkan pengajian.

Kejadian itu terbongkar selepas jiran terhidu bau kurang menyenangkan yang dipercayai datang dari rumah mangsa berusia 69 tahun itu.

Menurut laporan, anggota polis dilihat memasuki sebuah unit kediaman di tingkat 12 selepas menerima maklumat mengenai kejadian daripada jiran mangsa.

Seorang jiran yang dikenali sebagai Su berkata, mangsa berpindah ke kediaman tersebut kira-kira dua tahun lalu dan disifatkan sebagai seorang yang peramah.

Malah, Su mendakwa kali terakhir dia melihat lelaki berkenaan adalah kira-kira lima hari sebelum penemuan mayatnya.

Menurutnya, mangsa dipercayai mempunyai empat orang anak dan sebelum ini tinggal bersama anak bongsunya.

Kejadian dilaporkan berlaku di Blok 318, Ubi Avenue 1 di Singapura pada 17 September lalu.

Bagaimanapun, sejak kira-kira sebulan lalu, lelaki berkenaan tinggal bersendirian selepas anaknya berangkat ke luar negara untuk menyambung pengajian.

Su berkata, dia mula terhidu bau kurang menyenangkan di dalam rumahnya namun pada awalnya menyangka ia berpunca daripada makanan yang sudah rosak.

Namun, bau berkenaan semakin kuat sehingga menimbulkan rasa curiga.

Dia bersama anaknya kemudian cuba mencari punca bau tersebut sebelum mendapati ia datang dari kediaman mangsa.

Sementara itu, siasatan awal Pasukan Polis Singapura (SPF) tidak mengesyaki wujud unsur jenayah dalam kematian lelaki berkenaan. -Agensi

Artikel Lain