suria

Rasuah: Penolong Pegawai Penyiasat Dipenjara, Didenda

KUALA LUMPUR: Seorang penolong pegawai penyiasat polis dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan rasuah berhubung satu kes jenayah.

Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu ke atas Sarjan Tajudin Mahadi, 51, selepas tertuduh mengaku bersalah secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM3,000 daripada peniaga, Low Chin Chew, 31, untuk melepaskan abangnya, juga peniaga, Low Chin Chuan, 34, yang direman polis kerana terlibat dalam kes membakar kereta.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohd Nasir menasihati tertuduh supaya menyesali perbuatannya serta bertaubat dan berkata perbuatan rasuah adalah suatu perbuatan yang dikeji oleh agama.

Beliau juga menasihati tertuduh dengan memetik satu hadis nabi yang bermaksud "pemberi rasuah dan penerima rasuah, tempatnya di neraka".

Tertuduh yang berpakaian kemeja berpetak berwarna merah hanya menundukkan kepalanya.

Tajudin yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras didakwa melakukan kesalahan itu di biliknya di Tingkat 4, Pejabat Team C, Ibu Pejabat Polis (IPD) Cheras di sini antara 1 hingga 1.10 tengah hari, 4 Dis 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

Ketika rayuan peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan dengan alasan tertuduh menyara isteri dan dua orang anak yang masih bersekolah.

"Selain itu tertuduh yang telah berkhidmat selama 28 tahun dengan PDRM akan diberhentikan kerja dan terpaksa keluar dari kuarters dan perlu mencari kerja lain," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Afifah Yusof memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat kerana kesalahan itu merupakan kesalahan serius.

Rasuah, Polis

Artikel Lain