suria

Laporan Siasatan Kegagalan Dua Struktur Awam Di Pulau Pinang Kini Dijual

GEORGETOWN: Laporan Suruhanjaya siasatan mengenai kegagalan dua struktur awam di Pulau Pinang yang mengorbankan tiga nyawa kini dijual kepada orang ramai yang ingin mengetahui kejadian itu secara terperinci.

Buku laporan berhubung kejadian tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung, runtuh dan runtuhan penebat kilat di Menara Umno, Jalan Macalister, di sini boleh dibeli di Pejabat SUK, Tingkat Tiga, Kompleks Tun Razak (Komtar).

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata buku Laporan Suruhanjaya itu dijual pada harga RM200 senaskhah bersama CD.

Beliau berkata, laporan itu mempunyai dua versi iaitu Bahasa Inggeris yang mempunyai 312 muka surat dan Bahasa Malaysia dengan 287 muka surat.

"Laporan itu bagaimanapun akan diberi secara percuma kepada anggota keluarga dan waris mangsa kedua-dua kejadian itu," katanya.

Lim berkata, laporan siasatan yang dikendalikan oleh beberapa pakar jurutera iaitu Datuk Yeo Yang Poh, Datuk Dr Gue See Sew, Datuk Prof Roslan Hashim siap pada April 28 lalu dan telah mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Beliau berkata, laporan itu juga akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijadual bermula Jumaat ini.

Pada 6 Jun 2013, tanjakan konkrit di susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung, runtuh menyebabkan seorang lelaki Tajudin Zainal Abidin maut dan dua yang lain iaitu Thilasheni Rajendran dan Gajashantini Gajanujan cedera.

Pada 13 Jun 2013 pula penebat kilat di Menara Umno, Jalan Macalister runtuh menyebabkan penjual nasi Lim Chin Aik dan seorang pekerja asing Jahir Sulaiman maut. - BERNAMA

runtuhan, Pulau Pinang, Lim Guan Eng

Artikel Lain