suria

Wang Tak Boleh Pulangkan Nyawa Anak Saya - Ibu Juruterbang Pelatih

Mohamad Ihsan yang merupakan juruterbang pelatih maut selepas pesawat dikendalikannya terhempas di Lembah Beringin, Hulu Selangor.

KUALA LUMPUR: Seorang ibu kepada juruterbang pelatih menangis selepas memenangi ganti rugi sebanyak RM169,711 dalam kes samannya terhadap sebuah sekolah penerbangan dan seorang tenaga pengajar di atas kematian anaknya enam tahun lalu.

Dalam Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, Nowran Begam Mohamed Saliff, 55, menangis apabila ditanya mengenai keputusan penghakiman itu.

"Sekalipun saya mendapat wang, bolehkah saya mendapatkan anak saya kembali?," katanya yang menangis teresak-esak dan cuba ditenangkan ahli keluarganya.

Hakim Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan bahawa kedua-dua defendan bertanggungjawab menjaga keselamatan mangsa, Mohamad Ihsan Saiyed Abu Thahir yang mempunyai perjanjian kontrak untuk menerima latihan penerbangan.

Beliau memutuskan ganti rugi sebanyak RM127,872 dibayar kepada Nowran Begam bagi kehilangan punca pendapatan dan sokongan serta RM30,000 sebagai ganti rugi am.

Vazeer kemudiannya membenarkan bayaran RM11,839 sebagai ganti rugi khas termasuk perbelanjaan upacara pengebumian.

Beliau berkata mangsa tidak dilatih untuk memasuki ruang udara dalam keadaan cuaca sedemikian.

"Apabila mangsa memasuki awan dalam keadaan cuaca buruk, beliau gagal mengawal pesawatnya dan terhempas," kata Vazeer.

Menurut Vazeer, beliau mendapati terdapat  bukti bahawa sekolah penerbangan tersebut tidak mematuhi rancangan sesi pengajaran dengan tegas sebelum mangsa dibenarkan membuat penerbangan solo.


Artikel Lain